Wednesday, October 14, 2009

DIDIK ANAK...USAH BIAR SAJA PERILAKU BIADAB

MEREKA mungkin baru di sekolah rendah. Tetapi apabila mereka berbual sesama sendiri, mak oiii... suaranya riuh-rendah umpama jarak antara mereka berkilometer jauhnya. Bukan setakat terpekik-terpekik sahaja malah kata-kata mereka yang lantang lagi celupar itu kerap singgah di telinga mereka yang lalu-lalang.
Namun, anak-anak itu langsung tidak berasa segan apatah lagi berasa hormat! Beginilah anak-anak zaman sekarang. Jika murid zaman dahulu, usah kata dimarahi guru, apabila guru lalu sahaja di hadapan, mulut langsung terkunci, kecut perut! Di kalangan murid zaman sekarang, tidak cukup guru beliakkan mata, walau dijeritkan sekalipun mereka tidak kisah.
Malah, mungkin sahaja guru itu ditertawakannya. Bukan sahaja wujud perubahan dalam diri anak-anak, begitu juga ibu bapa. Zaman sekarang, jika murid nakal dimarahi gurunya, ibu bapanya pula yang akan memarahi guru! Tetapi pada masa yang sama, ibu bapa merungut mengapakah anak-anak mereka tidak lagi mendengar kata, tidak lagi menghormati mereka. Setiap arahan dilawan dan dibentak begitu sahaja.
Salah siapa agaknya? Adakah sifat manusia yang semakin mementingkan diri sendiri dan kebendaan membuat kita lupa betapa pentingnya menerap nilai hormat-menghormati di kalangan anak-anak kita? Dahulu, sikap anak yang biadab sudah cukup membuat ibu bapa hilang sabar, kini ibu bapa sanggup menutup mata dan telinga. Asalkan anaknya bahagia. Tetapi benarkah anak itu bahagia? Sekiranya anak anda antara mereka yang bersikap begini, lakukanlah sesuatu sebelum terlambat. Anak anda sebenarnya perlukan perhatian dan kasih sayang anda yang tiada bandingannya.
Mereka perlu dibendung, diberi larangan, tunjuk ajar dan disiplin kerana inilah tanda dan caranya anda menyayangi mereka. Tidak cukup sekadar cakap tetapi tunjukkan bagaimana. Kita ibu bapa harus bersikap jujur, tidak hipokrit. Buat sepertimana kita mahu anak kita buat. Bukan setakat 'lakukan apa yang saya kata, bukan lakukan apa yang saya buat'. Jika tidak, anak akan hilang kepercayaan dan rasa hormat terhadap kita.
Mereka akan melawan kata dan arahan kita. Mereka ingin menduga, ibu bapa aku ini 'betul atau tidak'. Ingatlah, tanpa melakukan sesuatu, akhlak anak-anak kita akan terus runtuh dan pada masa yang sama, kita ibu bapa pula akan terus-terusan asyik bertanya: 'Mengapa, Oh... mengapa?'
Nota: Penulis ialah siswazah Psikologi Amali, Universiti Southern Queensland dan merupakan bekas guru.

No comments:

Post a Comment