Tuesday, November 3, 2009

Tanam bayi: Ibu lapor perbuatan anak kerana enggan subahat

1 Nov 2009

KELANA JAYA (Selangor): Oleh kerana tidak sanggup lagi menanggung rasa bersalah atas perbuatan anak perempuannya yang menanam bayi baru lahir, seorang ibu nekad membuat laporan polis sebelum mayat bayi yang ditanam di kawasan pembuangan sampah itu ditemui.
Difahamkan, budak perempuan berusia 15 tahun itu, yang melahirkan bayi tidak cukup bulan minggu lalu, bertindak membungkus bayinya dengan kertas surat khabar sebelum membalutnya lagi dengan sarung bantal.
Dia kemudian dikatakan memasukkan pula bungkusan berisi bayi itu ke dalam plastik sebelum menanamnya di kawasan pembuangan sampah kira-kira 200 meter dari rumahnya di Kampung Cempaka, di sini.
Sumber polis berkata, ibu budak berkenaan, yang mungkin berasa bersalah dan berdosa atas perbuatan anaknya itu, dikatakan memaksa anaknya mengikut beliau ke Balai Polis Kelana Jaya untuk membuat pengakuan terhadap perbuatannya.
Hasil laporan yang diterima, pihak polis, dengan dibantu lapan anggota forensik, bertindak pergi ke lokasi kejadian kira-kira 4 petang kelmarin bagi melakukan siasatan, selain mengeluarkan mayat bayi berkenaan.
Pihak polis terpaksa memanggil ibu budak perempuan itu, yang berusia 50-an tahun, keluar dari rumahnya bagi menunjukkan lokasi yang tepat mayat bayi itu ditanam di kawasan pembuangan sisa sampah berhampiran.
Ekoran maklumat itu, anggota polis forensik memulakan kerja menggali tanah berhampiran kawasan belukar berkenaan sebelum menemui satu bungkusan plastik di dalam lubang sedalam kira-kira 0.2 meter.
Berdasarkan apa yang ditemui, polis membuka plastik terbabit sebelum menemui kertas surat khabar dan kain sarung bantal yang digunakan untuk membalut bayi tersebut.
Bagaimanapun, ketika ditemui, mayat bayi itu dikatakan mulai reput hingga menyukarkan polis untuk mengenal pasti jantina serta punca kematiannya.
Menyusuli kejadian itu, mayat bayi berkenaan terpaksa dibungkus dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.
Ibu budak perempuan itu yang ditemui di lokasi kejadian, mendakwa anaknya sebelum ini diperkosa seorang lelaki kumpulan samseng sekitar Mac dan April lalu.
Menurutnya, perbuatan itu menyebabkan anaknya mengandung sebelum melahirkan bayinya dalam keadaan tidak cukup bulan.
'Anak saya kemudian menanam bayi itu di depan rumah.
'Kalau disimpan (mayat bayi) dalam rumah, nanti akan berbau busuk pula,' kata ibu itu, yang turut berada di tempat berkenaan ketika polis menjalankan kerja-kerja penggalian.
Ibu yang sudah kematian suami sejak beberapa tahun lalu itu juga mendakwa bayi berkenaan dipercayai mati ketika dilahirkan.
'Mula-mula saya mahu diam saja tapi saya tahu perkara ini salah. Saya tidak mahu bersubahat. Saya mahu orang jahat (suspek yang merogol anaknya) kena tahan polis,' katanya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Penolong Pesuruhjaya (ACP) Arjunaidi Mohamed, mengesahkan kejadian itu tetapi enggan mengulas lebih lanjut berikutan polis masih menyiasat motif kejadian tersebut. -- Harian Metro.

Sikap kasar seseorang mungkin dipengaruhi cara mereka dibesarkan

25 Okt 2009

BAPA, atau mereka yang memikul peranan sebagai seorang bapa, yang mendisiplinkan anak-anak dengan menggunakan tengking herdik dan kekerasan yang berlebihan, lazimnya terpengaruh dengan cara mereka dibesarkan.
Lantas, jika bapa-bapa itu juga bersikap ganas terhadap anak-anak mereka, ia akan meneruskan lingkaran keganasan tersebut apabila si anak tadi dewasa dan memulakan keluarga sendiri.
Pakar psikiatri di Pusat Perubatan Mount Elizabeth, Dr Brian Yeo, berkata keadaan ini diburukkan lagi jika seseorang itu memang panas baran, dan mempunyai lain-lain faktor yang mengapi-apikan amarahnya itu.
'Sesetengah orang memang sukar berfikir secara waras semasa dalam keadaan marah.
'Dan bila berada dalam keadaan marah itu, mereka akan kurang daya fikir untuk menyedari apa yang dilakukan itu adalah salah,' ujar Dr Yeo.
Hakikat itu turut diakui oleh pengurus pusat INSPIRASI@PPIS, Encik Amran Jamil.
Beliau berkata, besar kemungkinan bapa-bapa yang mengamalkan sikap ganas dan kasar telah didedahkan sejak kecil lagi dengan cara-cara keras dalam mendisiplinkan anak oleh bapa atau ibu mereka sendiri.
Lantas, golongan itu, apabila sudah berumah tangga dan mempunyai keluarga sendiri, menggunakan cara yang sama sebagaimana ibu bapa mereka dulu, dalam mendisiplinkan anak-anak mereka pula.
'Dari mana mereka akan mempelajari cara-cara mendidik anak kalau bukan daripada persekitaran mereka sendiri?
'Bapa-bapa sebegini mungkin kurang pendedahan kepada cara alternatif atau yang lebih positif dalam mendisiplinkan atau mendidik anak-anak mereka tanpa menggunakan atau melibatkan kekerasan, pukul bantai dan keganasan,' kata Encik Amran, yang mengendalikan program pasangan muda di pusat PPIS itu.
Kaunselor INSPIRASI@AMP, Cik Rosedah Anuar, pula berkata ramai bapa ganas itu menjadi dewasa dengan sejarah emosi atau harapan yang tidak tercapai semasa kanak-kanak dahulu.
'Bapa-bapa ini lantas mudah marah dan panas baran jika anak itu tidak memenuhi jangkaan mereka.
'Selain itu, ramai bapa sedemikian juga berkemungkinan mempunyai masalah ketagihan dadah dan arak yang menjadi punca mereka gagal mengawal kemarahan,' katanya.
Sementara itu, para pekerja sosial juga berpendapat bagi sebahagian kes, terutama yang melibatkan bapa kandung, pesalah itu benar-benar yakin mereka tidak menganiayai anak mereka.
Sebaliknya, mereka percaya apa yang mereka lakukan ialah untuk kebaikan anak-anak itu sendiri, termasuk anak-anak kecil.
Presiden Persatuan Menentang Keganasan Keluarga, Encik Benny Bong, pula menceritakan semasa beliau berbual dengan bapa-bapa sedemikian, ramai beranggapan apa yang mereka lakukan bukan satu kesalahan.
'Mereka akan katakan bahawa kalau mereka tidak sayangkan anak, mereka tidak akan peduli kalau anak itu nakal atau jahat,' katanya.
Lantas, tambah Encik Bong, dalam kes seperti itu, jika si bapa hilang kawalan dan memukul bantai si anak sehingga cedera teruk atau menyebabkan kematian, mereka kemudian akan menunjukkan sikap bersalah.
Ada yang cuba memberi anak itu susu atau makanan, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.
Bagaimanapun, Encik Bong akur terdapat kes penderaan, terutama yang melibatkan bapa tiri atau teman lelaki si ibu kanak-kanak, yang dilakukan dengan niat jahat.
Menurutnya, kes-kes sedemikian menunjukkan masalah psikologi yang lebih teruk dalam diri pesalah tersebut.

Hadapi masalah kawal kemarahan

25 Okt 2009

Isu lain seperti tanggung hutang atau masalah di tempat kerja boleh bawa kepada tindakan ganas
MUHAMMAD Izzul Salihin Muhammad Farzid, tiga tahun; Seri Alyaniz Nazri, dua tahun; dan Natalie Nikie Alisyia, 23 bulan.
Selain usia mereka yang masih terlalu mentah, ketiga-tiganya memiliki sejarah malang yang sama - mereka semua meninggal dunia di rumah, di tangan orang yang seharusnya melindungi mereka.
Allahyarham Muhammad Izzul meninggal dunia pada 18 Januari tahun lalu setelah didera selama tiga hari berturut-turut oleh teman lelaki ibunya, Firdaus Abdullah.
Antara lain, Firdaus, yang berusia 27 tahun ketika melakukan kesalahan itu, telah memicit, menggoyang dan menggigit kemaluan budak itu.
Seri Alyaniz Nazri meninggal dunia pada 14 Oktober lalu, selepas dihentak di kepala oleh teman lelaki ibunya, Mohd Azhar Ghapar, 29 tahun.
Nikie pula meninggal dunia pada 6 Januari tahun ini setelah dipercayai dibelasah bapa kandungnya sendiri, Sallehan Allaudin, 27 tahun, gara-gara bayi itu merosakkan rokoknya.
Kes tersebut kini dibicarakan di mahkamah.
Pakar dan para pekerja sosial memberitahu Berita Minggu (BM), kes-kes penderaan kanak-kanak secara fizikal yang dilakukan bapa muda, menunjukkan mereka belum bersedia untuk menjadi seorang pelindung atau memikul peranan sebagai ketua keluarga.
Hakikat ini juga benar bagi pemikul peranan bapa seperti bapa tiri dan teman lelaki si ibu.
Kaunselor INSPIRASI@AMP, Cik Rosedah Anuar, berkata bapa-bapa muda sering terpaksa berkahwin kerana pasangan mereka hamil.
'Mereka ini belum bersedia untuk berumah tangga. Tanggungjawab seorang bapa ialah sesuatu yang berat dan perlu banyak kesabaran.
'Lebih-lebih lagi tanpa sokongan keluarga, bapa-bapa muda ini boleh rasa tertekan,' ujar beliau.
Akur, Imam Eksekutif Masjid Al-Falah, yang juga kaunselor pusat persinggahan Nur di masjid itu, Ustaz Yusri Yubhi Yusoff, berkata bapa-bapa yang ganas mempunyai masalah mengawal kemarahan.
'Saya rasa tindakan ganas mereka itu bukan hanya akibat satu perbuatan nakal anak tersebut, tetapi terdapat faktor-faktor sampingan lain seperti isu di tempat kerja, tiada pekerjaan dan berhutang,' katanya.
Pengurus INSPIRASI@PPIS, Encik Amran Jamil, menambah, umur yang muda dan tahap pendidikan yang rendah menambahkan risiko bagi seseorang yang sudah bergelar bapa untuk terjerumus kepada keganasan.
Lantas, di peringkat masyarakat, terdapat banyak kursus keibubapaan yang dianjurkan, yang antaranya memberi latihan dalam mengendalikan emosi dan kemarahan secara positif.
'Cuma sayangnya, (kursus-kursus sedemikian) kurang mendapat sambutan daripada ibu bapa Melayu kita.
'Ini mungkin kerana mereka kurang peka tentang pentingnya mempelajari cara mendidik anak dengan baik dan positif,' ujar beliau.
Sementara itu, beberapa asatizah berpendapat kurang asas agama juga bermakna bapa-bapa muda ini tidak dapat memperkukuh diri mereka untuk memikul tanggungjawab berat sebagai pemimpin keluarga.
Malah, menurut pendakwah bebas, Ustaz Azmi Abdul Samad, Islam melarang ibu bapa dan penjaga kanak-kanak daripada menyepak anak-anak di muka kerana bimbang boleh mencederakan muka yang merupakan mahkota seorang insan.
Dari sudut psikologi, para pakar yang dihubungi BM berkata bapa atau pemikul peranan bapa, yang sanggup mencederakan kanak-kanak di bawah jagaan mereka, tergolong dalam kumpulan orang yang sukar berfikir secara waras semasa dalam keadaan marah.
Golongan ini lazimnya mempunyai isu-isu luaran seperti masalah kewangan dan lain-lain pergelutan emosi.
Pakar Psikiatri di Pusat Perubatan Mount Elizabeth, Dr Brian Yeo, menerangkan dalam usaha mengatasi isu emosi itu, golongan sedemikian biasanya melampiaskan perasaan marah mereka kepada anak-anak kecil.
Punca kemarahan golongan tersebut boleh disebabkan perkara remeh, kerana ia cukup untuk memberi mereka alasan 'melepaskan geram'.
'Mereka ini mempunyai masalah mengawal emosi dan dua faktor utama - faktor personaliti dan faktor luaran - yang boleh memburukkan lagi keadaan.
'Bagi golongan ini, jika mereka mempunyai masalah di tempat kerja, masalah dengan pasangan mereka atau dibebani masalah kewangan, mereka melepaskan geram kepada sasaran mudah iaitu kanak-kanak,' ujarnya.

Banyak lagi kes aniaya anak tidak dilapor

25 Okt 2009

SEBANYAK 114 kes penderaan kanak-kanak disahkan tahun lalu menyusuli siasatan Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan (MCYS).
Ini merupakan satu peningkatan berbanding 99 kes pada 2007 dan 58 kes pada tahun sebelum itu.
Jumlah tersebut tidak termasuk kes-kes yang tidak mempunyai bukti kukuh bagi mengesahkan berlakunya penderaan, namun keluarga berkenaan telah dikenalpasti MCYS sebagai memerlukan bantuan.
Terdapat 56 kes sedemikian pada 2008.
Bagaimanapun, ketika diminta mengulas, para pekerja sosial berkata perangkaan itu tidak mencerminkan keadaan sebenar kerana banyak kes penderaan kanak-kanak dalam keluarga tidak dilaporkan.
Bapa kandung budak perempuan berusia dua tahun, Seri Alyaniz Nazri, yang meninggal dunia selepas dikatakan dihentak di kepalanya oleh teman lelaki ibunya, mendakwa insiden penderaan ke atas anaknya itu bukan berlaku pertama kali.
Beliau mendedahkan, anaknya itu pernah patah hidung dan dimasukkan ke hospital dengan lebam di dahi dan kepalanya kira-kira sebulan lalu.
Superintenden rumah tumpangan kanak-kanak Darul Ma'wa di Still Road, Encik Sophian Kayat, berkata kes-kes penderaan yang tidak dilaporkan memang berlaku terutama di kalangan pasangan yang tidak mempunyai sokongan keluarga.
Beliau merujuk satu kes melibatkan seorang budak lelaki yang dirujuk ke rumah tumpangan itu sekitar beberapa bulan lalu.
'Sebelum ini kedua-dua kakak budak lelaki itu, yang merupakan penghuni rumah tumpangan kami, mengadu bahawa adik lelaki mereka diabaikan dan dipukul bantai di rumah.
'Kami pun terus laporkan kes itu kepada pihak berkuasa yang kemudian mengambil tindakan.
'Budak lelaki itu kemudian dirujuk ke rumah ini untuk perlindungan,' jelas beliau.
Presiden Persatuan Menentang Keganasan Keluarga, Encik Benny Bong, berkata bagi setiap kes yang dilaporkan, ada banyak lagi yang gagal mendapat perhatian.
Terdapat juga banyak kes di mana penderaan disahkan berlaku, tetapi pihak berkuasa mengambil pendekatan bahawa ia satu kesilapan jujur dan membantu keluarga itu menerusi kaunseling dan lain-lain cara.
Menurutnya, kaum ibu dan anggota keluarga yang tidak mahu melaporkan masalah penderaan anak-anak dalam keluarga mereka enggan menerima kenyataan bahawa pelindung keluarga mereka mampu bertindak ganas.
'Mereka akan paksa diri mereka untuk percaya bahawa si bapa atau orang dewasa yang memikul peranan bapa itu memukul anak tersebut atas dasar sayang.
'Mereka juga ingin sekali percaya bahawa fasa keganasan ini akan berakhir.
'Tapi hakikatnya, ia tidak akan berakhir tanpa campur tangan pihak lain,' ujar beliau.

Malangnya nasib si kecil

25 Okt 2009



MANGSA BAPA TIRI: Nonoi yang comel ini mengalami kematian yang menyedihkan dengan mayatnya ditemui di bawah jejambat Aljunied. Bapa tirinya, Mohammed Ali Johari, didapati bersalah dan dijatuhi hukuman gantung.


Berapa ramai lagikah kanak-kanak yang akan jadi mangsa dera golongan tidak berhati perut?
MASIH ingatkah anda kes Nonoi atau nama sebenarnya, Nur Asyura Mohamed Fauzi?

Saya masih ingat.Malah, saya masih ingat kali pertama membuat liputan mengenai kehilangannya, bertemu dan menemuramah bapa tirinya, Mohammed Ali Johari, sehinggalah mengikuti perkembangan kes tersebut di mahkamah bersama seorang lagi rakan sepejabat.
Saya juga masih ingat bagaimana si bapa tiri itu, duduk di sebelah saya sambil menitiskan air mata mengenangkan nasib anak tirinya yang dilaporkan hilang pada 1 Mac 2006.
Simpati dengan nasibnya itu, tangan kanan saya menepuk bahu kirinya dan saya memberitahunya agar banyak bersabar dan berdoa.
Maklumlah, saya sendiri pun mempunyai seorang anak perempuan yang hampir sebaya dengan Nonoi, dan sedikit sebanyak saya dapat memahami perasaannya.
Tup, tup beberapa hari kemudian, tubuh Nonoi ditemui tidak bernyawa di bawah jejambat Aljunied.
Alangkah terkejutnya saya kerana siapa sangka, orang yang menitiskan air mata sedih dengan kehilangan Nonoi, yang saya pujuk dan tepuk bahunya itu dan menasihatinya agar bersabar dan berdoa, kemudian didapati bersalah membunuh Nonoi dan dijatuhi hukuman gantung pada Ogos dua tahun lalu.
Bedah siasat turut menunjukkan Nonoi telah didera secara seksual sebelum dibunuh.
Punca sebenar kematian Nonoi tidak dapat dipastikan walaupun keadaan paru-parunya konsisten dengan mangsa lemas.
Mohamed Ali membenamkan kepala Nonoi untuk memaksanya berhenti daripada menangis di flat sewanya di Pipit Road.
Dia kemudian menyembunyikan mayat Nonoi di bawah jejambat Aljunied sebelum menyerah diri dan mengaku perbuatan kejamnya itu tiga hari kemudian.
Mohamed Ali dihukum gantung pada Disember tahun lalu.
Kes melibatkan Nonoi mula kembali dalam fikiran saya apabila baru-baru ini terbaca kisah kanak-kanak yang meninggal dunia akibat didera kaum Adam yang sepatutnya memberi perlindungan kepada si kecil.
Ketika itu, kenangan saya kembali pada saat saya ditugaskan membuat liputan salah satu sesi perbicaraan kes kematian Nonoi.
Pada satu ketika, saya keluar daripada mahkamah selama 10 minit semasa perbicaraan sedang berlangsung separuh jalan.
Bukan kerana ingin ke tandas, tetapi kerana agak tertekan semasa mahkamah berulang kali diberitahu bagaimana kanak-kanak itu didera.
Pada ketika itu, timbul persoalan dalam kepala saya.
Tidakkah si pesalah terfikir bahawa perbuatannya itu boleh menimbulkan risiko kepada si kecil?
Apakah dia tidak punya perasaan belas kepada kanak-kanak?
Atau adakah dia langsung tidak tahu erti rasa sakit sekiranya diperlakukan sedemikian?
Dan baru-baru ini, apabila terbaca kisah satu lagi kes perbicaraan melibatkan seorang bapa yang dituduh membunuh anak kandungnya sendiri, soalan-soalan itu timbul semula dalam fikiran saya.
Separuh jalan semasa membaca kisah itu di akhbar, saya berhenti sejenak dan menyelak ke muka surat lain dalam akhbar tersebut.
Selepas berasa lebih tenang, barulah saya sambung membaca kisah itu.
Bukannya apa... dalam laporan tersebut disebut bagaimana, mengapa dan cara si tertuduh dikatakan memukul anaknya yang baru berusia 23 bulan itu.
Pada pandangan saya, tidak salah memukul anak sekiranya dia melakukan kesalahan.
Tetapi sebagai seorang yang lebih dewasa yang sepatutnya melindungi anak kecil, kaum Adam perlu tahu berapa kuat pukulan itu, di bahagian tubuh mana anak itu perlu dipukul atau bila si anak itu patut dipukul.
Kalau tidak hati-hati, anak itu boleh cedera parah atau lebih buruk lagi meninggal dunia, dan akhirnya kita sendiri yang menghadapi padahnya.
Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.
Melihatkan kes-kes terbaru ini, timbul satu lagi persoalan:
Berapa ramai lagikah kanak-kanak yang akan menjadi korban penderaan? - Oleh FARID HAMZAH