Wednesday, October 14, 2009

DIDIK ANAK...USAH BIAR SAJA PERILAKU BIADAB

MEREKA mungkin baru di sekolah rendah. Tetapi apabila mereka berbual sesama sendiri, mak oiii... suaranya riuh-rendah umpama jarak antara mereka berkilometer jauhnya. Bukan setakat terpekik-terpekik sahaja malah kata-kata mereka yang lantang lagi celupar itu kerap singgah di telinga mereka yang lalu-lalang.
Namun, anak-anak itu langsung tidak berasa segan apatah lagi berasa hormat! Beginilah anak-anak zaman sekarang. Jika murid zaman dahulu, usah kata dimarahi guru, apabila guru lalu sahaja di hadapan, mulut langsung terkunci, kecut perut! Di kalangan murid zaman sekarang, tidak cukup guru beliakkan mata, walau dijeritkan sekalipun mereka tidak kisah.
Malah, mungkin sahaja guru itu ditertawakannya. Bukan sahaja wujud perubahan dalam diri anak-anak, begitu juga ibu bapa. Zaman sekarang, jika murid nakal dimarahi gurunya, ibu bapanya pula yang akan memarahi guru! Tetapi pada masa yang sama, ibu bapa merungut mengapakah anak-anak mereka tidak lagi mendengar kata, tidak lagi menghormati mereka. Setiap arahan dilawan dan dibentak begitu sahaja.
Salah siapa agaknya? Adakah sifat manusia yang semakin mementingkan diri sendiri dan kebendaan membuat kita lupa betapa pentingnya menerap nilai hormat-menghormati di kalangan anak-anak kita? Dahulu, sikap anak yang biadab sudah cukup membuat ibu bapa hilang sabar, kini ibu bapa sanggup menutup mata dan telinga. Asalkan anaknya bahagia. Tetapi benarkah anak itu bahagia? Sekiranya anak anda antara mereka yang bersikap begini, lakukanlah sesuatu sebelum terlambat. Anak anda sebenarnya perlukan perhatian dan kasih sayang anda yang tiada bandingannya.
Mereka perlu dibendung, diberi larangan, tunjuk ajar dan disiplin kerana inilah tanda dan caranya anda menyayangi mereka. Tidak cukup sekadar cakap tetapi tunjukkan bagaimana. Kita ibu bapa harus bersikap jujur, tidak hipokrit. Buat sepertimana kita mahu anak kita buat. Bukan setakat 'lakukan apa yang saya kata, bukan lakukan apa yang saya buat'. Jika tidak, anak akan hilang kepercayaan dan rasa hormat terhadap kita.
Mereka akan melawan kata dan arahan kita. Mereka ingin menduga, ibu bapa aku ini 'betul atau tidak'. Ingatlah, tanpa melakukan sesuatu, akhlak anak-anak kita akan terus runtuh dan pada masa yang sama, kita ibu bapa pula akan terus-terusan asyik bertanya: 'Mengapa, Oh... mengapa?'
Nota: Penulis ialah siswazah Psikologi Amali, Universiti Southern Queensland dan merupakan bekas guru.

Monday, October 12, 2009

'Abah' dakwa dapat wahyu ( part 3 )

Mula yakin selepas penyakit sembuh, cara tak langgar akidah.

SEORANG doktor pernah memberitahunya bahawa beliau menghidap gastrik tetapi dapatan itu disangkal oleh seorang lelaki yang mendapat julukan 'Pak Guru' dan mendakwa boleh mengubati pelbagai penyakit.

Lelaki yang turut menggelar dirinya sebagai mursyid itu sebaliknya mendakwa masalah kerap sakit perut tersebut lebih disebabkan 'penyakit lama-lama'.

Cik Radiah (bukan nama sebenar) mulanya tidak yakin akan kemampuan pak guru tersebut mengubati sakit perut yang dihidapinya lebih setahun lalu itu.

Tetapi, setelah menjalani rawatan secara batin oleh pak guru itu, beliau mula terpengaruh bahawa selama ini pelbagai makhluk 'duduk' dalam perutnya.

'Pak Guru kata dia dah tarik keluar ular, pocong dan pontianak daripada perut saya.

'Benda-benda tak baik itulah yang menyebabkan perut saya sentiasa sakit. Puas makan ubat pun tak baik.

'Lepas berubat dengan Pak Guru, saya dah tak rasa sakit. Mula-mula saya tak percaya tetapi lepas rawatan barulah saya sedar benda-benda ini memang ada dalam zaman moden ini!' kata Cik Nurul (bukan nama sebenar), 54 tahun, yang mendapatkan rawatan dengan pak guru berusia 40-an tahun itu beberapa bulan lalu.

Bagi beliau, cara rawatan pak guru itu, yang mengggunakan ayat Al-Quran, itu tidak bercanggah dengan akidah.

'Dia kata dia tahu asal usul kita seperti daripada air, api, tanah dan angin serta malaikat-malaikat menjaga kita. Selagi dia tahu semua itu, ia tak bercanggah dengan akidah,' tambahnya.

Beliau juga mendakwa, seorang saudaranya yang menghidap penyakit buah pinggang juga kini bertambah sihat dan 'dah baik' selepas dirawat pak guru itu.

'Beliau sakit dah lama dan serius. Doktor kata beliau mesti dibedah dan ganti ginjal baru yang diderma.

'Tetapi beliau tak putus asa dan berikhtiar menerusi cara rawatan lain. Beliau kemudian berjumpa Pak Guru dan diberi rawatan dialisis secara batin dan sekarang orang tua tu dah baik,' cerita Cik Nurul, suri rumah yang menetap di Jurong itu.

Beliau mendakwa bahawa pak guru tersebut juga merawat seorang rakannya yang menghidap masalah batuk.

'Doktor kata mesti bedah kalau nak baik. Tapi lepas jumpa Pak Guru, dah baik kawan saya tu.

'Katanya Pak Guru tarik keluar banyak jarum dan paku yang tersengkang bersama lendir hijau di kerongkongnya yang menjadi punca masalah batuk itu,' cerita beliau lagi.

Cik Nurul menambah bahawa pak guru tersebut mengajaknya menyertai kelas agamanya yang ramai disertai orang, termasuk belia.

'Pak Guru ajar tauhid, tasawuf... banyak ilmunya,' kata beliau, yang bercadang menyertai kelas tersebut dalam masa terdekat ini.

'Abah' dakwa dapat wahyu ( part 2 )


'Abah' dakwa dapat wahyu ( part 1 )

10 Okt 2009

Lelaki yang terima julukan Pak Guru dan gelar diri mursyid dakwa mampu ubati penyakit, mengajar

Oleh
Saini Salleh

DULU beliau hanya bekerja sebagai pekerja pengiriman tetapi sekarang bergelar mursyid dan sesetengah pengikut memanggilnya 'Abah'.

Umur beliau hanya 40-an tahun dan berpakaian rugged seperti singlet dan seluar jean.

Lelaki yang menerima julukan 'Pak Guru' dan kerap memakai belangkon serta jubah hitam apabila mengajar atau merawat orang itu juga mendakwa bahawa tidak ramai yang tahu dia mencapai darjat amat tinggi sekarang hasil 'wahyu' yang diterima menerusi mimpi.

'Wahyu' itu pula diterima ketika badannya hampir putus dua akibat satu kemalangan belasan tahun lalu.

Ekoran daripada kejadian itu, badan pak guru itu bercantum semula dan turun pula 'wahyu' yang menyatakan beliau kini berupaya mengubat sebarang penyakit dan mampu menebarkan ilmu.

Pengakuan pak guru yang turut mendakwa dirinya sebagai mursyid itu didedahkan oleh seorang lelaki yang pernah mengikuti kelasnya dan hanya mahu dikenali sebagai Encik Karim.

Beliau tampil memaklumkan kepada Berita Harian ekoran daripada laporan 15 Ogos lalu mengenai dua pak guru - seorang dari Kulai, Johor; dan seorang lagi pekerja lapangan terbang - yang terlibat dalam kegiatan ajaran sesat mirip 'kerajaan di langit' pimpinan Ayah Pin di Terengganu sekitar tiga tahun lalu.

Encik Karim mendakwa bahawa pak guru berkenaan menjalankan kegiatannya setiap hari kecuali Ahad di sebuah rumah kedai tidak jauh dari Masjid Sultan.

Pengikut-pengikutnya terdiri daripada pelbagai lapisan umur - daripada golongan belia, pertengahan umur hinggalah warga emas.

Kebanyakan belia itu, yang dipercayai menjadi pengikut setianya, bekerja sebagai pekerja pengiriman.

Selain memberi kuliah tanpa berpandukan pada sebarang kitab, pak guru itu juga mengubat orang secara batin dengan menggunakan ayat Al-Quran - satu taktik yang menyebabkan ramai pengikutnya berasa yakin sehingga menjadi taksub kepadanya.

Encik Karim, 50 tahun, mendakwa bahawa pak guru itu menjalankan kegiatan dan menjerumuskan pengikutnya ke jalan yang terkeluar daripada akidah Islam.

'Saya keluar daripada kumpulannya kerana saya bosan. Ajarannya juga tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada saya. Dia cakap main hembus tanpa berlandaskan Al-Quran dan hadis.

'Yang paling saya hairan ialah dia menggelarkan dirinya mursyid dan mahu pengikutnya memanggilnya abah tetapi saya tak pernah nampak dia solat.

'Selalu saya duduk di kelasnya dari 6 petang hingga 2 pagi tetapi saya tak pernah nampak dia solat maghrib dan isyak.

'Apabila saya bertanyakan perkara itu kepadanya, dia mendakwa bahawa duduk pun boleh solat, tak semestinya tunggang tonggek,' kata Encik Karim.

Dalam ilmu tasawuf, gelaran mursyid merupakan satu istilah yang menunjukkan kedudukan tinggi. Ia bermakna guru atau pembimbing ilmu tarikat yang disanjungi.

Tetapi, Encik Karim dan sepasang suami isteri yang memperkenalkan diri sebagai ibu dan bapa mertua Pak Guru itu, berkata gelaran mursyid dan abah itu tidak layak diberikan kepada lelaki itu kerana menurut mereka, 'dia bukan warak dan berilmu orangnya'.

'Mana manusia boleh terima wahyu dari Allah. Darjat kita tak sampai ke mana?

'Kalau ada majlis doa dan tahlil, bukan dia yang pimpin majlis, termasuk membaca yasin. Anak muridnya yang baca.

'Saya sengaja solat di satu sudut secara sembunyi-sembunyi kerana takut terlepas waktu,' tambah wanita berusia 30 tahun itu sambil memberitahu bahawa suaminya, yang pernah menyertai kumpulan tersebut, juga telah menarik diri.

Beliau bimbang kegiatan pak guru yang berselindung di sebalik perubatan cara Islam itu boleh mengakibatkan kesan buruk terhadap iktikad dan akidah pengikut-pengikutnya.

Menurut buku berjudul Noktah Hitam - Ajaran Sesat di Singapura terbitan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dengan kerjasama Perdaus, antara ciri ajaran sesat ialah pengikut percaya kuasa ghaib dan di luar biasa seseorang pak guru dan meletakkannya ke taraf yang amat tinggi atau ke taraf wali atau wakil Nabi Muhammad.

Buku tersebut mengenal pasti golongan yang terjebak ke dalam kegiatan ajaran songsang dipancing menerusi perubatan rohani atau batin.