Sunday, September 13, 2009

Wartawan ekori pengemis asing dipercayai 'ditaja' sindiket

12 Sep 2009

USAHA menjejaki pengemis telah membawa wartawan dan jurugambar Berita Harian (BH) ke satu episod kejaran Jumaat lalu.

Langkah itu bertujuan untuk mengetahui taktik mengemis mereka dan menjejaki sindiket-sindiket yang 'menaja' mereka.

Ia bermula apabila wartawan dan jurugambar BH, Mohd Taufik A. Kader, mengesan kehadiran sekumpulan pengemis asing dekat Pusat Makanan Haig Road sekitar 4 petang itu.

Pengemis empat orang wanita itu - kesemuanya berkulit sawo matang - berpakaian agak selekeh dan bertudung.

Memerhatikan mereka, pengemis itu tidak meminta sedekah secara terbuka tetapi akan menghampiri sesebuah gerai dan berdiri di hadapannya sehingga pegerai atau pembantunya memberi mereka wang.

Dari pusat makanan Haig Road, mereka kemudian berjalan ke arah Hotel Lion City.

'Kau jangan ikut dekat-dekat, nanti dia orang tahu. Kita split (berpisah), kalau apa-apa call aku,' kata Taufik kepada penulis.

Mengekori mereka dari jauh agak sukar kerana orang terlalu ramai di depan Hotel Lion City.

Tetapi usaha menjejaki mereka berhasil apabila mereka dilihat sedang menuju ke Tanjong Katong Complex.

Kru BH yang bergegas ke sana kemudian mendapati kumpulan empat pengemis itu ke tingkat dua pusat membeli-belah itu.

Mereka berhenti di hadapan beberapa kedai di situ sebelum meminta wang.

Sebaik sahaja mendapat duit daripada pekedai, mereka beredar ke kedai lain.

Apabila wartawan menghampiri mereka, kedengaran wanita-wanita itu berbual dalam bahasa Melayu dengan loghat asing.

Namun, kehadiran kru BH itu disedari kumpulan tersebut selepas hampir sejam mengekori mereka dari Pusat Makanan Haig Road hingga ke Tanjong Katong Complex.

Menyedari mereka diekori, kumpulan itu segera meninggalkan pusat membeli-belah itu sebelum tergesa-gesa menyeberangi Changi Road tanpa mengendahkan keselamatan di jalan raya yang sesak pada masa itu.

Mereka kemudian menunggu bas di perhentian bas di depan Pusat Makanan Haig Road sebelum menaiki bas nombor 51.

Penulis juga menaiki bas yang sama dengan tiga wanita itu sementara Taufik kekal di Geylang Serai.

Ketika di dalam bas, wajah empat wanita itu jelas kelihatan resah kerana diekori sebelum mereka mula berbisik-bisik sesama sendiri.

Selepas perjalanan selama 10 minit, mereka kemudian bergegas turun dekat kawasan Masjid Sultan sebelum berpecah.

Tiga daripada mereka meluru ke arah Jalan Kubor dan seorang lagi berjalan dengan pantas ke arah Kandahar Street.

Penulis cuba menyeberangi North Bridge Road tetapi kesesakan lalu lintas menghambat usaha mengejar mereka.

Sebaik tiba di Jalan Kubor, ketiga-tiga wanita itu dilihat berlari ke arah Rochor Canal Road sebelum terus menghilangkan diri ke arah Kelantan Road.

Percubaan penulis untuk terus mengesan mereka gagal, sekali gus mengakhiri usaha mengekori mereka selama dua jam yang berakhir sekitar 6 petang.

Kilang kuih di Johor dibanjiri pembeli S'pura

12 Sep 2009
SEKITAR RAMADAN

PERNIAGAAN di bazar Geylang Serai mungkin lembap tetapi dolar Singapura yang lebih kukuh berbanding ringgit Malaysia serta harga barangan dan perkhidmatan yang jauh lebih rendah menyebabkan rakyat Singapura membanjiri kilang kuih-muih di Johor Bahru.

Bahkan, pelanggan Singapura bersedia memandu sejauh ke Simpang Renggam, Ayer Hitam dan Batu Pahat untuk mendapatkan bekalan kuih-muih yang harganya jauh lebih rendah daripada kawasan di Johor Bahru.

Encik Shahak Mohd Hussin dan isterinya, Cik Zahara Mohd Yunus, yang mengusahakan Perusahaan Zainab Jaya di Simpang Renggam, walaupun kilangnya hanya dibuka pada 7 pagi, pelanggan dari Singapura tiba seawal 6.30 pagi.

'Apabila dibuka mereka terus serbu. Kerana ramai sudah biasa, kebanyakan pelanggan terus menuju ke kuih-muih yang hendak dibeli sebelum memborongnya,' ujarnya.

Antara yang menjadi tumpuan ialah kuih tart, gajus Turkey, popiah udang kering dan kek lapis Sarawak.

Walaupun harga gula melonjak, Encik Shahak tidak menaikkan harga secara keterlaluan - hanya antara RM1 hingga RM2.

Kuih tart misalnya dijual pada harga RM17 ($7) berbanding RM16 tahun lalu.

Satu lagi kilang kerepek yang mendapat perhatian warga Singapura ialah Perusahaan Azhar di kawasan Rengit, Batu Pahat.

Hampir 90 peratus pelanggan kilang itu masih warga Malaysia tetapi warga Singapura mula membanjiri Perusahaan Azhar yang kini membekalkan hampir 20 jenis kerepek ke hampir enam syarikat pengedar di Singapura.

Oleh kerana bilangan pelanggan agak tinggi, pemiliknya, Cik Mariam Boon, dan suaminya, Encik Azhar Rasnan, mendapatkan bantuan anggota Rela untuk mengawal lalu lintas.

Satu lagi tempat yang turut menjadi tumpuan warga Singapura ialah Ayer Hitam.

Encik Along Mohd daripada Azira Maju Enterprise yang menjual pelbagai kerepek di Ayer Hitam berkata warga Singapura masih ke Ayer Hitam kerana setiap tempat - iaitu Simpang Renggam, Batu Pahat atau Ayer Hitam - mempunyai keistimewaan tersendiri.

'Pelanggan warga Singapura memang bijak. Mereka sering rasa dahulu kuih-

'Assalamualaikum. Tolong beli ayat ini, Encik'

12 Sep 2009

Pengemis ambil kesempatan sifat dermawan masyarakat

Masyarakat Singapura memang dikenali dengan sikap dermawan mereka. Disebabkan itu pengemis warga asing tidak putus-putus mendatangi negara ini. Bagi pengemis dari Asia Selatan dan Asia Tenggara, mereka lebih gemar membanjiri Geylang Serai dan beberapa kawasan tumpuan masyarakat Melayu/Islam setiap kali tibanya Ramadan. Selama tiga hari, wartawan Berita Harian, SAFHRAS KHAN dan jurugambar, MOHD TAUFIK A. KADER, menjejaki pengemis-pengemis itu. Ikuti laporan khas mereka.

MENGENAKAN songkok haji sambil bertutur dengan cara lembut, beliau menghampiri 'mangsanya' di tempat meletak kereta dekat Tanjong Katong Complex.

Apabila melihat seseorang yang sedang berjalan, lelaki tinggi lampai itu mengekorinya sebelum menyapa dalam bahasa Inggeris: 'Assalamualaikum, please buy these ayat. I am poor. Please help me, Sir.' (Assalamualaikum, tolong beli ayat-ayat ini. Saya ni orang susah. Tolonglah saya, Encik.)

Demikian rata-rata gelagat peminta sedekah warga asing yang menggunakan helah menjual kad berlaminat ayat-ayat suci Al-Quran untuk mendapatkan wang daripada orang ramai.

Pengemis asal Asia Selatan itu lazimnya tiba di sini bagi 'memanfaatkan' sikap dermawan masyarakat Islam di sini pada bulan Ramadan. Bagi meraih 'hasil' maksimum, pengemis-pengemis itu menjalankan kegiatannya di kawasan bazar.

Walaupun 'mangsa' peminta sedekah tadi enggan membeli ayat-ayat tersebut, pengemis itu tidak berputus asa. Pengemis itu mengekori 'mangsanya' hingga beliau dapat apa yang dikehendakinya. Jika gagal, beliau akan melemparkan pandangan yang hampa dan berjalan ke arah mangsa lain.

Tinjauan Berita Harian (BH) mendapati peminta sedekah selalunya akan menghampiri mereka yang sedang berjalan menuju ke kereta mereka. Sebaik didekati, pengemis akan mula menguntum senyum, memberi salam dan barulah menyatakan hasratnya - meminta derma.

Seorang daripada mereka mengenalkan dirinya sebagai Mushtad Ahmad dari Kashmir, Pakistan, yang mendakwa beliau menaiki pesawat ke Singapura.

Apabila diberitahu bahawa wartawan juga berketurunan Pakistan, Mushtad kelihatan gembira dan sedia buka cerita.

'Saya menjual kad-kad ini untuk mencari duit agar saya boleh pulang ke Pakistan dan menyambut Aidilfitri. Tak mahal Encik, sekeping hanya $2,' ujarnya.

Menurut Mushtad, beliau sudah berada di Singapura sejak hari pertama Ramadan dan berharap akan mendapat sekurang-kurangnya $500 sebelum pulang.

Duit itu akan diguna untuk pulang ke Pakistan dan menyambut Hari Raya bersama keluarganya. Menurutnya, kad-kad itu dibawa bersama dari Pakistan untuk dijual di sini.

'Orang Singapura murah hati dan tidak sukar untuk saya menjual kad-kad ini. Pertolongan yang diberi dapat membantu saya,' katanya.

Mushtad berkata untuk menjimat wang, beliau bermalam di Masjid Angullia di Serangoon Road. Kira-kira 10 pagi, beliau akan menaiki bas ke kawasan Geylang untuk menjual kad-kad tersebut dan selepas selesai 'berniaga', beliau pulang ke masjid tersebut.

'Saya harus berjimat jika saya mahu mendapatkan sasaran saya. Sebagai contoh, saya akan beriftar di Masjid Khalid. Di sana, saya dapat makan dan berehat seketika sebelum pulang bermalam di Masjid Angullia.'

Bagaimanapun, Mushtad, yang kelihatan sihat dan tegap, enggan memberitahu jumlah kad yang beliau dapat jual sehari.

'Cukuplah apa yang saya perolehi. Selama dua minggu saya di sini, saya sudah dapat kumpulkan $300. Tetapi duit tu belum cukup lagi,' katanya, sambil menambah beliau memerlukan lagi $200.

Pemerhatian kru BH selama sejam mendapati ramai yang memberi wang kepadanya.

Setiap kali Mushtad menerima sumbangan wang daripada orang ramai, beliau akan mengangkat tangan ke langit seumpama berdoa. Beliau turut meminta wartawan ini mendoakan agar beliau dapat menemui sasarannya sebelum akhir Ramadan.

'Anda pun berketurunan Pakistan. Mungkin anda boleh memberi saya $200 agar saya boleh pulang esok,' katanya sambil tersenyum.

Taktik baru mengemis guna 'tekong'

12 Sep 2009

MENGEMIS pun mempunyai taktik.

Ia bukan lagi sekadar duduk di pintu masjid atau merayau-rayau di tempat awam mencari 'mangsa' bagi mendapatkan wang.

Kini, terdapat satu taktik baru yang menggunakan 'tekong'.

Taktik ini menggunakan seorang 'tekong' yang akan 'memimpin' seorang yang cacat penglihatan berjalan-jalan meminta belas kasihan orang ramai agar membeli penanda buku yang dijualnya.

Seorang penjaja bazar di Geylang Serai yang enggan namanya disiarkan berkata beliau sering ternampak satu 'pasukan' tersebut menjalankan kegiatannya di bazar itu.

Gabungan peminta sedekah itu juga kelihatan beroperasi di Pusat Makanan Haig Road.

Tinjauan Berita Harian (BH) mendapati kumpulan itu mula mendekati orang ramai ketika mereka sedang sibuk membeli juadah berbuka.

Setelah mendapat wang daripada penderma, mereka memberi sekeping penanda buku kepada mereka yang menderma.

Dalam temu bual BH bersama mereka di hadapan Tanjong Katong Complex, mereka mendakwa daripada pertubuhan 'Jannatu Ma'awa' dan menjual penanda buku itu dengan harga $2 setiap satu.

Apabila diminta nombor telefon 'Jannatu Ma'awa' dan maklumat lanjut tentang badan tersebut, lelaki buta itu berkata beliau tidak mempunyai maklumat mengenainya.

Menurutnya, mereka boleh menjual sebanyak 150 keping penanda buku setiap hari.

Akhbar ini mendapati penanda buku yang berwarna biru itu kelihatan murah dan tipis.

Apabila BH menghubungi wanita tersebut, beliau mengaku telah membuat penanda buku tersebut dan mempunyai syarikat sendiri yang dikenali sebagai MECC.

Menurut Ummi, lelaki yang buta itu bernama Rahmat sementara pemandunya atau 'tekong' pula bernama Zahid.

Apabila wartawan mengenalkan dirinya sebagai wartawan, Ummi segera meletak telefon sambil berkata: 'Saya telefon awak sekejap lagi.'

Namun, beliau tidak menghubungi wartawan dan usaha menghubunginya lagi melalui telefon atau SMS gagal kerana beliau tidak memberi respons.

Di belakang penanda tersebut tertera nombor telefon seorang wanita bernama 'Ummi'.

Pengemis asing Ramadan banjiri Singapura

PENGEMIS ANTARABANGSA: Pengemis berkopiah putih ini, yang dilihat di Geylang Serai, adalah antara puluhan warga Asia Selatan yang membanjiri negara ini setiap Ramadan bagi 'memanfaatkan' sikap murah hati masyarakat Muslim Singapura yang berlebihan dalam bulan puasa. -- Foto TAUFIK A. KADER

12 Sep 2009

ADA melakukannya sendirian dan ada pula secara berkumpulan. Yang buta pula menggunakan 'tekong' untuk memandu jalan.

Itulah antara gelagat pengemis asing semasa Berita Harian membuat pemerhatian ke atas mereka di sekitar kawasan Geylang Serai dan Masjid Sultan selama tiga hari barubaru ini.

Ada yang semasa ditemui tidak segan silu menunjukkan wang kertas setebal lima sentimeter yang telah diterima hasil 'kerja keras' mengemis dua hingga tiga jam sehari.

Kebanjiran pengemis asing di sini dek kemurahan hati penduduk Singapura yang mudah memberi wang kepada pengemis, baik dari dalam mahupun luar negara.

Ini diakui sendiri oleh beberapa pengemis yang ditemui. Tinjauan akhbar ini mendapati rata-rata orang ramai memberi wang kertas $2 atau lebihan duit syiling.

Kebanyakan pengemis lelaki warga asing berumur 30-an hingga lewat 40-an tahun, datang dari rantau Asia Selatan dan memakai baju lengan panjang atau ghamis, berseluar panjang dan berkopiah.

Ada daripada mereka berpakaian selekeh, membawa tongkat atau beg plastik 'pasar' merah mengandungi pakaian atau membawa bungkusan makanan dan air botol untuk mengelabui mata orang ramai demi menagih simpati.

Pengemis wanita pula, berusia lewat 30-an hingga awal 50-an tahun dan dipercayai datang dari Malaysia dan Indonesia. Ini dapat dipastikan setelah mendengar perbualan mereka dalam bahasa Melayu yang pekat dengan loghat daerah masing-masing.

Seperti pengemis lelaki, mereka berpakaian selekeh, dengan baju dan tudung tidak sepadan warna.

Ada daripada mereka membawa anak sebagai helah untuk meningkatkan simpati orang ramai.

Malah, ada pengemis wanita ini didapati cukup masak dengan selok-belok kawasan tempat mereka mengemis - wartawan terdengar perbualan mereka membincangkan kawasan yang ingin mereka tuju selepas selesai mengemis di satu-satu tempat.

Merumuskan kebanjiran pengemis asing di sini, Encik Razak, seorang Penduduk Tetap (PR) asal Iran, yang menjual permaidani di bazar Geylang Serai, berkata kebanyakan pengemis asing ini 'penipu'.

'Saya lihat pengemis asing dari Asia Selatan ini rata-rata sihat dan tegap dan seharusnya bekerja. Kelihatannya mereka malas dan ambil jalan mudah untuk mendapatkan wang,' kata Encik Razak, 48 tahun.

Berhematlah belanja jelang Raya

9 Sep 2009
Nenek

KURANG dari dua minggu, kita semua akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Sudahkah anda membuat persiapan?

Nenek yakin... tentu sudah siap. Nenek dapat tahu, ada yang sudah siap beberapa botol kuih di rumah. Ada pula masih merancang membuat beberapa jenis biskut dan kek.

Di rumah Nenek, anak Nenek, si Noni, kata dia malas nak bikin kuih. Anaknya, Lina, pula sibuk nak bikin kuih sebab katanya, kalau tak bikin kuih, tak rasa macam Hari Raya.

Nenek tak kisahlah... dia nak bikin ke tidak, terpulanglah pada dia. Tapi bagi Nenek,
sebagaimana tahun-tahun lalu, Nenek mesti bikin paling sikit tiga jenis kuih tradisional - kuih tart nanas, bangkit dan kuih makmur.

'Itu kuih wajib. Lain kuih tak ada tak apa. Tiga jenis kuih ini mesti ada dalam senarai kuih-muih Raya di rumah kita ni,' kata Nenek.

'Ala... beli saja sudahlah mak. Tak penat, tak berkecah rumah kita,' kata Noni.

'Tidak. Emak tetap nak buat sendiri. Beli tak muai. Mahal. Dahlah gitu, kadangkala tak sedap pula. Keras, tak rapuh,' kata Nenek.

Nenek tengok kebanyakan kaum isteri sekarang, terutama yang muda-muda, dah tak kisah lagi soal buat kuih-muih Raya ni. Semuanya nak dibeli, semuanya nak ambil mudah.

'Kita bukan malas mak. Tapi tak ada masa. Dahlah penat bekerja di pejabat tu, balik rumah nak masak untuk buka puasa, nak siapkan juadah sahur.

'Anak-anak pula akan menduduki peperiksaan. Kita jadi emak bapak ni, mesti nak tengok pula pelajaran diaorang.

'Jadi, Noni rasalah... memang lebih baik beli saja. Badan tak penat, dapur tak kecah, pelajaran anak-anak pun boleh kita tengok-tengok, boleh kita pantau,' kata Noni, yang memang tak kuasa nak bikin kuih.

Bukan itu saja, langsir, sarung kusyen pun dia tempah atau beli yang sudah siap.

'Hai... jadi-jadi malasnya kau ni ya Noni,' kata Nenek kepadanya.

Noni tersenyum saja sambil berkata: 'Rezeki yang kita dapat, kita kongsilah dengan tukang bikin kuih dan tukang jahit. Kata orang, saling membantu.'

Noni tak kuasa, dia angkat kaki dan tinggalkan Nenek sendirian di dapur.

Begitulah keadaan sekarang. Kalau kita fikir-fikir, memang benar juga. Kalau semua kita nak buat sendiri, apa hal dengan orang-orang yang mencari makan dengan berjualan dan mengambil upah memasak, membuat kuih atau menjahit?

Cuma rasa Nenek ni... kalau kita berbelanja Raya - tidak kiralah dalam membeli kuih, beli pakaian atau menghias rumah, berpada-padalah... berjimatlah. Elakkan pembaziran.

Bagi mereka yang anak-anaknya masih bersekolah, ingat-ingatlah... tahun baru persekolahan akan menjelang tidak lama lagi. Banyak belanja perlu dikeluarkan untuk buku, pakaian (jika perlu) dan lain-lain keperluan.

Jangan naik syok belanja buat persiapan Raya, terlupa pula keperluan persekolahan anak-anak.

Mudah-mudahan seruan-seruan Pemerintah agar kita semua berhemat, dapat kita laksanakan.

Sempena Ramadan yang mulia ini, marilah kita sama-sama bermuhasabah diri kita. Kita lihat mana-mana sikap atau perangai buruk kita, termasuk dalam pembaziran berbelanja, ubahlah.

Mudah-mudahan berkat Ramadan, kita akan menjadi insan yang lebih baik, insya-Allah.

Kepada semua, Nenek ucapkan selamat meneruskan ibadah puasa.

Dirompak ketika isi minyak di JB

DIROMPAK DI KEDAI MINYAK: Cik Salbiah menunjukkan bagaimana beg tangannya dilarikan perompak yang datang tiba-tiba dan membuka pintu penumpang kanan ketika kereta yang dinaikinya berhenti di kedai minyak Shell dekat Kampung Majidee. -- Foto JOHARI RAHMAT

9 Sep 2009

SEORANG wanita Singapura kehilangan barang kemas, wang dan telefon bimbing berjumlah lebih $2,000 apabila beg tangannya dilarikan semasa kereta yang dinaikinya berhenti di sebuah kedai minyak dekat Kampung Majidee, Johor Bahru, sekitar 1 pagi semalam.

Kejadian itu berlaku semasa Cik Salbiah Hajab, 48 tahun, dalam perjalanan pulang ke Singapura setelah berbelanja di bazar Ramadan di Pandan City di Johor Bahru.

Ketika itu beliau bersama keluarga anak saudaranya, Cik Siti Salwati Ja'afar, cerita Cik Salbiah semasa ditemui di rumah Cik Salwati, 31 tahun, di Simei semalam.

Menurut Cik Salwati, semasa mereka menunggu dalam kereta sedang minyak diisi di kedai minyak Shell di Jalan Tebrau itu, seorang lelaki dengan tiba-tiba membuka pintu penumpang bahagian kanan dan melarikan beg tangan Cik Salbiah yang diletak di ruang di belakang.

'Kami tidak perasan dia datang dari arah mana. Tahu-tahu saja dia buka pintu dan terus seluk bahagian belakang kereta dan rampas beg saya. Lepas itu dia terus membonceng motosikal kawannya dan mereka pecut lari.

'Waktu itu saya tidak terfikir untuk buat apa-apa. Saya hanya pentingkan keselamatan cucu saudara yang saya pangku.

'Nasib baik kami tidak diapa-apakannya,' ujar Cik Salbiah, seorang pemandu bas SBS Transit.
Ibu tiga anak itu kehilangan seutas gelang emas bernilai $2,000, wang $50, telefon bimbit Sony Ericsson, kad ATM, kad debit dan lesen memandu.

Pasport beliau, bagaimanapun, tidak disimpan dalam beg itu.

Menurut Cik Salwati, seorang pengurus operasi pusat senaman, suasana menjadi hingar-bingar seketika dengan jeritan cemas dan tangisan anaknya, Nabil, apabila mereka menyedari kejadian itu.

Sebaik-baik saja selepas minyak diisi, adik Cik Salwati, Cik Seriwati, 23 tahun, memandu kereta jenis Suzuki Swift itu untuk mengejar lelaki tersebut.

'Perasaan saya bercampurcampur, geram ada, takut pun ada. Walaupun kami kejar pencuri itu sampai ke kawasan kampung, kami tidak berani pergi jauh lagi kerana keadaan terlalu gelap dan hati saya rasa sangat tak senang.

'Sehingga sekarang saya masih trauma,' kata Cik Salwati.

Menurut beliau, lelaki itu berumur 20-an tahun, agak kurus dan sederhana tinggi.

Cil Salwati mengesyaki mereka diekori sejak di Pandan City kerana semasa di bazar itu, ayahnya Encik Ja'afar Sarkawi, membahagi-bahagikan wang RM50 kepada setiap seorang daripada mereka untuk berbelanja.

Pencuri itu bertindak ketika mereka leka semasa di kedai minyak, ujarnya.

Menurut Cik Salbiah, mereka kemudian langsung ke balai polis Johor Bahru Central untuk membuat laporan.

Setiba di Singapura, Cik Salbiah bersama Cik Salwati membuat laporan di Pusat Polis Kejiranan (NPC) Changi di Simei Street 2.

Berikutan kejadian itu, suami Cik Salbiah tidak mengizinkan beliau berbelanja di Johor Bahru lagi demi mengelak kejadian tersebut berulang.

'Nasib baik kami tidak diapa-apakan dan pasport kami tidak hilang. Kejadian itu memberi kami semua pengajaran supaya lebih waspada' kata Cik Salbiah, yang hanya tiba ke rumah sekitar 5.15 pagi.

Friday, September 4, 2009

Hikmah memahami makna Al Quran

2 Sep 2009

Ustaz Adam Ismail

Adalah menjadi kewajipan bagi seluruh umat Islam berpegang teguh dengan kitabullah, yakni Al Quranul Karim. Salah satu diantara cara kita berpegang teguh dengan Al Quran setelah kita dapat membacanya dengan baik ialah dengan memahami makna-makna yang terkandung di dalam Al Quran itu sendiri serta mengetahui hikmah-hikmah disebalik makna-maknanya yang tersurat mahu pun yang tersirat.

Pertama:
Dengan memahami makna-makna Al Quran umat Islam akan terdorong untuk terus meyakini kebenaran dan kebesaran Allah SWT.

Kedua:
Bahawa kitab Allah mempunyai pelbagai ilmu pengetahuan yang tidak diketahui oleh kebanyakkan manusia.

Ketiga:
Memberi petunjuk dan pedoman bagi manusia menjalani kehidupan yang terbaik dan sempurna dalam setiap aspek kehidupan dunia.

Keempat:
Memberi suatu ketenangan dalam jiwa manusia yang tiada tolok bandingnya.

Kelima:
Memulihkan dan merawat segala macam masalah yang dihadapi oleh umat manusia.

Keenam:
Meningkatkan kekuatan, kehebatan dan kemuliaan bagi sesiapa yang membacanya, memahaminya dan mengamalkannya.

Ketujuh:
Dapat membentuk pandangan alam Islami secara universal atau menyeluruh.

Kelapan:
Membawa manusia untuk mengecapi kebahagiaan dan kesejateraan sejati samada dalam kehidupan dunia mahupun kehidupan di akhirat.

Kesembilan:
Memperlihatkan IĆ¢€™jaz Al Quran dari sudut lafaz dan maknanya yang sentiasa terpelihara secara mutlak hingga ke akhir zaman.

Kesepuluh:
Sesuai diamalkan pada setiap tempat, masa dan zaman. Mudah-mudahan dengan kita memahami beberapa hikmah yang telah saya sebutkan tadi sikit sebanyak dapat membuka hati nurani kita untuk terus mencintai Kitab Allah serta dapat mengamalkannya dalam kehidupan seharian kita. Insha Allah.

Keutamaan mempelajari dan mengajar Al-Qur'an

2 Sep 2009

Ustaz Lokman Hakim Haji Hasan

a. Mendapatkan syafa'at di hari qiamat

Dari Abi Umamah ra., ia berkata : "Saya telah mendengar Rasulullah saw., bersabda : "Bacalah oleh kamu sekalian Al-Qur'an, karena sesungguhnya ia akan datang pada hari Qiamat sebagai penolong bagi para pembacanya." (HR. Muslim)

b. Mendapatkan derajat yang tinggi

Dari ‘Aisyah ra., ia berkata : Telah bersabda Rasulullah saw : "Orang yang membaca Al-Qur'an dengan mahir, akan bersama-sama malaikat yang mulia lagi taat, dan yang membaca Al-Qur'an dengan terbata-bata dan merasa berat, maka dia mendapat dua pahala." (HR. Bukhari)

c. Merupakan ciri keimanan seseorang

Dari Abu Musa Al-Asy'ari ra., ia berkata : Telah berkata Rasulullah saw : "Perumpamaan orang-orang mukmin yang membaca Al-Qur'an, bagaikan buah Utrujjah, harum baunya dan lezat rasanya. Dan perumpamaan orang mu'min yang tidak membaca Al-Qur'an, bagaikan buah kurma, tidak harum baunya dan rasanya manis. Perumpamaan orang munafik yang membaca Al-Qur'an, bagaikan bunga, haram baunya dan pahit rasanya. Dan orang munafiq yang tidak membaca Al-Qur'an bagaikan buah Hamdzalah, tidak harum dan rasanya pahit." (HR. Bukhari dan Muslim)

d. Allah akan memngangkat derajatnya

Dari Umar Bin Khatab ra., ia berkata : Telah bersabda Rasulullah saw., : "Sesungguhnya Allah Ta'ala dengan kalam ini, mengangkat beberapa kaum dan merendahkan kaum lainnya." (HR. Muslim)

e. Mendapat kebaikan

Dari Ibnu Mas'ud ra., ia berkata : telah bersabda Rasulullah saw : "Barangsiapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah, maka baginya satu kebaikan, dan setiap kebaikan dibalas dengan sepuluh kebaikan. Aku tidak mengatakan Alif Lam mim satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf, dan mim satu huruf." (HR. At-Tirmidzi)

f. Mendapatkan kedudukan yang tinggi pada hari Qiamat

Dari'Abdullah bin ‘Umar dan dari Ibnu 'Ash ra., dan Nabi saw : "dikatakan kepada pembawa Al-Qur'an "Bacalah dan naiklah, bacalah sebagaimana kamu membaca di dunia, maka sesungguhnya (tingginya) kedudukan (dicapai) pada akhir ayat yang kamu baca." (HR. Abu Dawud, Tirmidzi, dan An-Nasai)

2. Keutamaan belajar dan mengajar Al-Qur'an

a. Merupakan amal terbaik

Dari 'Utsman Bin 'Afan ra., ia berkata : bersabda Rasulullah saw : "Sebaik-baik kamu sekalian adalah orang yang belajar Al-Qur'an dan mengajarkannya." (HR. Bukhari)

b. Terhindar dari kehancuran

Dari Ibnu 'Abas ra, ia berkata : Rasulullah saw bersabda : "Sesungguhnya orang yang tidak ada sedikitpun dari Al-Qur'an pada rongga mulutnya, bagaikan rumah yang rapuh." (HR. At-Tirmidzi)

c. Mendapat sebaik-baik anugrah Allah

Rasulullah saw bersabda : Allah SWT., berfirman : "Barangsiapa yang sibuk dengan Al-Qur'an (melebihi daripada sibuk) dengan Dzikir dan memohon (berdoa) kepada-Ku, pasti aku akan berikan kepadanya kurnia yang lebih utama dari yang Ku berikan kepada orang-orang yang memohon (berdoa). Dan keutamaan Kalam Allah di atas semua ungkapan, laksana keagungan Allah di atas semua makhluk-Nya" (HR. Tirmidzi)

d. Mendapat keistimewaan dihadapan makhluk

Dari Ibnu Umar ra., dari Nabi SAW., ia bersabda : "Tidak ada hasud yang benar kecuali karena dua hal. Seseorang yang diberi Allah Al-Qur'an , maka ia mengamalnyannya siang maupun malam. Dan seseorang yang diberi harta, maka ia menginfakannya siang dan malam." (HR. Bukhari dan Muslim)

Kelebihan menuntut ilmu

1 Sep 2009

Oleh Ustaz Ahmad Dahlan Haji Ibrahim
Pengetua Cawangan Andalus

Sebagai seorang Islam, di antara kewajipan yang dituntut dalam memelihara akal ialah menuntut dan menguasai ilmu.

Kewajipan menuntut ilmu sebagai agenda penting umat Islam dijelaskan oleh Rasulullah dalam sabdanya yang bermaksud:

"Mencari ilmu adalah wajib ke atas setiap Muslim."

Bertitik-tolak daripada inilah, kita berkewajipan untuk terus memelihara akal kita dengan ilmu dan pengetahuan. Sebagai hamba Allah, kita tidak seharusnya berhenti melakukannya selagi masih bernafas dan menyedut udara segar kurniaan Allah..

Dalam memperkatakan soal ilmu, tidak dapat dinafikan bahawa orang berilmu mampu menguasai sesuatu dari manusia lain yang kurang ilmunya atau tidak berilmu. Orang berilmu dalam sesuatu bidang, tidak akan bersusah payah untuk menyelesaikan setiap masalah yang dihadapinya berbanding orang lain yang tidak berilmu.

Sebelum sesuatu langkah diambil, seseorang akan berfikir semasak-masaknya sebelum meneruskan tindakannya. Berbeza dengan orang yang tidak berilmu akan mudah terburu-buru untuk bertindak tanpa menggunakan akal fikirannya. Implikasinya, segala tindakannya itu kemungkinan akan mengundang masalah yang lebih besar.

Allah mewajibkan setiap Muslim supaya terus menuntut ilmu. Sebagai bonusnya, Allah memberikan kedudukan yang tinggi kepada mereka ini. Ia dapat dilihat di kalangan masyarakat hari ini. Mereka yang mempunyai ilmu dan kepakaran dalam sesuatu bidang akan dihormati dan diberikan kemuliaan di tengah masyarakat. Kadangkala, mereka juga turut diberi kepercayaan untuk menjadi jurucakap malah pemimpin dalam sesuatu perkara.

Bagi orang yang beriman, semakin tinggi ilmu diperolehi akan membuatkannya lebih tawaduk atau merendah diri. Ia menunjukkan bahawa seseorang yang berilmu akan semakin taat kepada Tuhannya. Inilah darjat yang dimiliki oleh ilmuwan Islam atau lebih tepat lagi disebut ulama.

Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya orang yang takut (taat) kepada Allah di kalangan hamba-Nya ialah ulama (orang yang berilmu)." (Surah al-Fathir: 28)

Daripada maksud ayat itu, dapat kita fahami bahawa ketaatan manusia kepada sesuatu perkara adalah berasaskan kepada kefahaman dan penghayatannya kepada perkara tersebut. Dan ketaatan serta penghayatan tersebut tidak dapat diperolehi melainkan dia berilmu.

Tidak dapat dinafikan, kedudukan orang berilmu dengan orang jahil sememangnya berbeza terutama dari segi pemikiran dan cara tindakannya. Maka benarlah seperti firman Allah di atas yang menjelaskan bahawa orang yang tahu memanfaatkan akalnya mampu untuk menerima segala bentuk pengajaran dan nasihat.

Sesungguhnya, orang yang berilmu bukan saja dihormati dan dikasihi oleh manusia tetapi juga oleh malaikat bahkan oleh seluruh makhluk di dunia ini. Ia dibuktikan oleh nas dan dalil al-Quran dan Hadis yang begitu banyak memperkatakan kelebihan orang yang berilmu.

Secara umumnya, perlu kita sedari bahawa ilmu yang dimaksudkan bukanlah terhad kepada ilmu yang berkaitan akhirat atau biasa disebut sebagai ilmu agama. Secara sedar atau tidak, semua ilmu yang terdapat hari ini sama ada mencakupi ilmu dunia atau akhirat, kedua-duanya adalah sunnah kepada manusia untuk mempelajari dan menguasainya.

Thursday, September 3, 2009

Mengapakah umat Islam digalak merebut peluang?

http://www.youtube.com/watch?v=4CSSiRtlAL4

Oleh Ustaz Sayid Amin Jasin
Pensyarah Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri


Daripada Ibn Abbas r.a. , Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Rebutlah lima keadaan sebelum datang lima keadaan yang lain, iaitu keadaan mudamu sebelum tuamu, keadaan sihatmu sebelum kedatangan sakitmu, keadaan kaya sebelum fakirmu, keadaan lapangmu sebelum waktu sibukmu dan masa hidupmu sebelum tibanya kematianmu."

Hadis riwayat Imam al-Hakim.

Allah s.w.t telah menciptakan manusia di dunia ini dengan tujuan mengEsakan Allah dan mengabdikan diri kepadaNya semata-mata.

Untuk mencapai tujuan ini, Allah azza wajall tidak membiarkan manusia begitu sahaja, tetapi Allah s.w.t telah membekalkan kepada manusia segala keperluan bagi melayari bahtera kehidupan dunia ini dengan pelbagai nikmat yang tidak dapat dikira manusia; usia, kekuatan, kekayaan, masa, kehidupan dan sebagainya.

Biasanya manusia akan hanyut apabila dikurniakan dengan nikmat-nikmat seperti, masa lapang yang ada, kekayaan, zaman mudanya dan juga kesihatannya.

Maka dalam hadis tadi, Rasulullah s.a.w telah menjelaskan kepada kita kepentingan merebut peluang-peluang memperbanyakkan ibadah kepada Allah s.w.t ketika 5 keadaan tadi yang merupakan takdir baik sebelum datang 5 keadaan lain yang merupakan takdir buruk bagi manusia.

Marilah kita manfaatkan takdir-takdir yang baik ini, memperbanyakkan ibadah, saling mengajak kepada kebaikan, sampaikan yang benar, cegah kemungkaran dengan kebijaksanaan, supaya kita tidak tergolong diantara orang-orang yang menyesal di akhirat kelak.

Anang dan Krisdayanti dilapor bercerai menjelang Ramadan

KETIKA SAAT BAHAGIA: Penyanyi Krisdayanti bersama bekas suaminya, Anang, dan dua anak mereka, Titania Aurelie (kanan) dan Azriel Akbar Hermansyah. -- Foto NYATA
2 Sep 2009
JAKARTA:

Setelah beberapa lama dilanda spekulasi pergolakan rumah tangga dan mengelak daripada perhatian pihak media, akhirnya penyanyi dan ahli muzik, Anang Hermansyah, yang juga suami kepada penyanyi 'diva' Indonesia, Krisdayanti, mengaku bahawa mereka telah bercerai, menurut beberapa laporan setempat kelmarin.

Anang mengakui bahawa beliau telah menceraikan Krisdayanti empat hari sebelum Ramadan bermula.

Perceraian tersebut dijalankan mengikut lunas-lunas Islam, yang bermakna ia masih belum didaftarkan di mahkamah syariah.

'Jangan salah anggap, yang meminta cerai bukannya saya tetapi Yanti yang memintanya,' kata Anang, yang dipetik laporan laman berita dalam talian, Detikcom.

Anang berkata mereka telah membincangkan pelbagai aspek perceraian itu.

Ini termasuk pembahagian asetaset milik pasangan itu, yang dianggarkan bernilai berjuta dolar, kata laporan versi dalam talian akhbar The Jakarta Globe.

Pasangan tersebut dikatakan bersetuju memberi hak penjagaan anak-anak mereka kepada Anang.

Anang, yang menikahi Krisdayanti pada 1996, enggan memberitahu punca perceraian itu.

Bagaimanapun, anak perempuan sulung pasangan tersebut, Titania Aurelie Hermansyah, 11 tahun, dilaporkan memberitahu stesen televisyen swasta SCTV bahawa pada satu ketika sedang dia berenang, ibunya berada dalam bilik tidur bersama seorang lelaki.

Menurut Titania Aurelie, lelaki tersebut adalah seorang ahli perniagaan dari Timor Timur.

Anang dan kedua-dua anaknya dilaporkan telah menginap di firma penerbitan pasangan itu sejak dua minggu lalu, menurut The Jakarta Globe.

'Orangnya siapa saya tidak mahu katakan, tapi saya sudah ingatkan dia jangan main api,' kata Anang, yang ditukil dalam laman berita Kompas.com.

'Sudah satu kali, dua kali, sampai tiga kali saya sudah ingatkan, tapi tetap tidak diendahkan,' ujar beliau.

Singapura kekal harmoni sebab rakyat terima kepelbagaian

3 Sep 2009

KEMAMPUAN Singapura mengekalkan keharmonian selama ini adalah disebabkan rakyatnya menerima kepelbagaian kaum yang kini menjadi sumber kekuatan negara ini.

Menyatakan demikian malam tadi, Menteri Kanan, Profesor S. Jayakumar, berkata masyarakat Singapura sebenarnya bekerja keras untuk menggalakkan sikap harmoni, persefahaman dan toleransi antara satu sama lain.

'Kita mungkin berbeza tetapi kita harus memahami dan menghormati perbezaan kita.
'Setiap satu daripada kita mempunyai adat tradisional dan melalui majlis-majlis seperti ini, kita boleh memahami tradisi bangsa-bangsa lain,' ujarnya di majlis iftar di Masjid Khadijah malam tadi.

Dalam ucapannya itu, beliau, yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Nasional, turut mengalu-alukan kerja-kerja amal yang dilakukan masjid tersebut.
Menurutnya, Masjid Khadijah merupakan contoh yang berjaya mengadakan aktiviti-aktiviti yang menggalak keharmonian hidup bersama.

Majlis iftar semalam dianjurkan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).

Antara yang hadir termasuk Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Dr Yaacob Ibrahim; Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Haji Alami Musa; Mufti Syed Isa Semait; Anggota Parlimen bagi GRC Marine Parade, Dr Fatimah Lateef; dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

Pengerusi Bersama RRG, Ustaz Haji Ali Haji Mohamed, dalam ucapannya, pula berkata masyarakat Muslim Singapura mempunyai tanggungjawab mengambil berat kebajikan warga Singapura yang lain.

'Kewajipan kita ialah menunjukkan keindahan Islam dan pada waktu yang sama menyumbang kepada kemantapan dan kemakmuran negara,' ujarnya.

Ustaz Haji Ali berkata peranan RRG kini ialah mengasuh generasi asatizah yang akan datang.

'Kami ingin mengasuh mereka untuk menjadi kaunselor.

'Kini RRG sedang terus mencari lebih ramai lagi asatizah dan relawan untuk menyertai kami,' katanya.

Apabila diminta mengulas mengenai majlis tersebut, Dr Fatimah berkata 'masyarakat berbilang kaum seperti Singapura harus sentiasa berusaha mengeratkan lagi silaturahim antara kaum'.

Bagi Ketua Rahib Kuil Nan Hai Fei Lai, Cik Lai Sai Hoon, beliau gembira kerana dapat menghadiri majlis iftar tersebut.

'Ia mencipta peluang bagi masyarakat Singapura berpadu dan mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat,' ujarnya.