Sunday, September 13, 2009

Wartawan ekori pengemis asing dipercayai 'ditaja' sindiket

12 Sep 2009

USAHA menjejaki pengemis telah membawa wartawan dan jurugambar Berita Harian (BH) ke satu episod kejaran Jumaat lalu.

Langkah itu bertujuan untuk mengetahui taktik mengemis mereka dan menjejaki sindiket-sindiket yang 'menaja' mereka.

Ia bermula apabila wartawan dan jurugambar BH, Mohd Taufik A. Kader, mengesan kehadiran sekumpulan pengemis asing dekat Pusat Makanan Haig Road sekitar 4 petang itu.

Pengemis empat orang wanita itu - kesemuanya berkulit sawo matang - berpakaian agak selekeh dan bertudung.

Memerhatikan mereka, pengemis itu tidak meminta sedekah secara terbuka tetapi akan menghampiri sesebuah gerai dan berdiri di hadapannya sehingga pegerai atau pembantunya memberi mereka wang.

Dari pusat makanan Haig Road, mereka kemudian berjalan ke arah Hotel Lion City.

'Kau jangan ikut dekat-dekat, nanti dia orang tahu. Kita split (berpisah), kalau apa-apa call aku,' kata Taufik kepada penulis.

Mengekori mereka dari jauh agak sukar kerana orang terlalu ramai di depan Hotel Lion City.

Tetapi usaha menjejaki mereka berhasil apabila mereka dilihat sedang menuju ke Tanjong Katong Complex.

Kru BH yang bergegas ke sana kemudian mendapati kumpulan empat pengemis itu ke tingkat dua pusat membeli-belah itu.

Mereka berhenti di hadapan beberapa kedai di situ sebelum meminta wang.

Sebaik sahaja mendapat duit daripada pekedai, mereka beredar ke kedai lain.

Apabila wartawan menghampiri mereka, kedengaran wanita-wanita itu berbual dalam bahasa Melayu dengan loghat asing.

Namun, kehadiran kru BH itu disedari kumpulan tersebut selepas hampir sejam mengekori mereka dari Pusat Makanan Haig Road hingga ke Tanjong Katong Complex.

Menyedari mereka diekori, kumpulan itu segera meninggalkan pusat membeli-belah itu sebelum tergesa-gesa menyeberangi Changi Road tanpa mengendahkan keselamatan di jalan raya yang sesak pada masa itu.

Mereka kemudian menunggu bas di perhentian bas di depan Pusat Makanan Haig Road sebelum menaiki bas nombor 51.

Penulis juga menaiki bas yang sama dengan tiga wanita itu sementara Taufik kekal di Geylang Serai.

Ketika di dalam bas, wajah empat wanita itu jelas kelihatan resah kerana diekori sebelum mereka mula berbisik-bisik sesama sendiri.

Selepas perjalanan selama 10 minit, mereka kemudian bergegas turun dekat kawasan Masjid Sultan sebelum berpecah.

Tiga daripada mereka meluru ke arah Jalan Kubor dan seorang lagi berjalan dengan pantas ke arah Kandahar Street.

Penulis cuba menyeberangi North Bridge Road tetapi kesesakan lalu lintas menghambat usaha mengejar mereka.

Sebaik tiba di Jalan Kubor, ketiga-tiga wanita itu dilihat berlari ke arah Rochor Canal Road sebelum terus menghilangkan diri ke arah Kelantan Road.

Percubaan penulis untuk terus mengesan mereka gagal, sekali gus mengakhiri usaha mengekori mereka selama dua jam yang berakhir sekitar 6 petang.

No comments:

Post a Comment