Monday, October 12, 2009

'Abah' dakwa dapat wahyu ( part 1 )

10 Okt 2009

Lelaki yang terima julukan Pak Guru dan gelar diri mursyid dakwa mampu ubati penyakit, mengajar

Oleh
Saini Salleh

DULU beliau hanya bekerja sebagai pekerja pengiriman tetapi sekarang bergelar mursyid dan sesetengah pengikut memanggilnya 'Abah'.

Umur beliau hanya 40-an tahun dan berpakaian rugged seperti singlet dan seluar jean.

Lelaki yang menerima julukan 'Pak Guru' dan kerap memakai belangkon serta jubah hitam apabila mengajar atau merawat orang itu juga mendakwa bahawa tidak ramai yang tahu dia mencapai darjat amat tinggi sekarang hasil 'wahyu' yang diterima menerusi mimpi.

'Wahyu' itu pula diterima ketika badannya hampir putus dua akibat satu kemalangan belasan tahun lalu.

Ekoran daripada kejadian itu, badan pak guru itu bercantum semula dan turun pula 'wahyu' yang menyatakan beliau kini berupaya mengubat sebarang penyakit dan mampu menebarkan ilmu.

Pengakuan pak guru yang turut mendakwa dirinya sebagai mursyid itu didedahkan oleh seorang lelaki yang pernah mengikuti kelasnya dan hanya mahu dikenali sebagai Encik Karim.

Beliau tampil memaklumkan kepada Berita Harian ekoran daripada laporan 15 Ogos lalu mengenai dua pak guru - seorang dari Kulai, Johor; dan seorang lagi pekerja lapangan terbang - yang terlibat dalam kegiatan ajaran sesat mirip 'kerajaan di langit' pimpinan Ayah Pin di Terengganu sekitar tiga tahun lalu.

Encik Karim mendakwa bahawa pak guru berkenaan menjalankan kegiatannya setiap hari kecuali Ahad di sebuah rumah kedai tidak jauh dari Masjid Sultan.

Pengikut-pengikutnya terdiri daripada pelbagai lapisan umur - daripada golongan belia, pertengahan umur hinggalah warga emas.

Kebanyakan belia itu, yang dipercayai menjadi pengikut setianya, bekerja sebagai pekerja pengiriman.

Selain memberi kuliah tanpa berpandukan pada sebarang kitab, pak guru itu juga mengubat orang secara batin dengan menggunakan ayat Al-Quran - satu taktik yang menyebabkan ramai pengikutnya berasa yakin sehingga menjadi taksub kepadanya.

Encik Karim, 50 tahun, mendakwa bahawa pak guru itu menjalankan kegiatan dan menjerumuskan pengikutnya ke jalan yang terkeluar daripada akidah Islam.

'Saya keluar daripada kumpulannya kerana saya bosan. Ajarannya juga tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada saya. Dia cakap main hembus tanpa berlandaskan Al-Quran dan hadis.

'Yang paling saya hairan ialah dia menggelarkan dirinya mursyid dan mahu pengikutnya memanggilnya abah tetapi saya tak pernah nampak dia solat.

'Selalu saya duduk di kelasnya dari 6 petang hingga 2 pagi tetapi saya tak pernah nampak dia solat maghrib dan isyak.

'Apabila saya bertanyakan perkara itu kepadanya, dia mendakwa bahawa duduk pun boleh solat, tak semestinya tunggang tonggek,' kata Encik Karim.

Dalam ilmu tasawuf, gelaran mursyid merupakan satu istilah yang menunjukkan kedudukan tinggi. Ia bermakna guru atau pembimbing ilmu tarikat yang disanjungi.

Tetapi, Encik Karim dan sepasang suami isteri yang memperkenalkan diri sebagai ibu dan bapa mertua Pak Guru itu, berkata gelaran mursyid dan abah itu tidak layak diberikan kepada lelaki itu kerana menurut mereka, 'dia bukan warak dan berilmu orangnya'.

'Mana manusia boleh terima wahyu dari Allah. Darjat kita tak sampai ke mana?

'Kalau ada majlis doa dan tahlil, bukan dia yang pimpin majlis, termasuk membaca yasin. Anak muridnya yang baca.

'Saya sengaja solat di satu sudut secara sembunyi-sembunyi kerana takut terlepas waktu,' tambah wanita berusia 30 tahun itu sambil memberitahu bahawa suaminya, yang pernah menyertai kumpulan tersebut, juga telah menarik diri.

Beliau bimbang kegiatan pak guru yang berselindung di sebalik perubatan cara Islam itu boleh mengakibatkan kesan buruk terhadap iktikad dan akidah pengikut-pengikutnya.

Menurut buku berjudul Noktah Hitam - Ajaran Sesat di Singapura terbitan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dengan kerjasama Perdaus, antara ciri ajaran sesat ialah pengikut percaya kuasa ghaib dan di luar biasa seseorang pak guru dan meletakkannya ke taraf yang amat tinggi atau ke taraf wali atau wakil Nabi Muhammad.

Buku tersebut mengenal pasti golongan yang terjebak ke dalam kegiatan ajaran songsang dipancing menerusi perubatan rohani atau batin.

No comments:

Post a Comment