Thursday, September 3, 2009

Singapura kekal harmoni sebab rakyat terima kepelbagaian

3 Sep 2009

KEMAMPUAN Singapura mengekalkan keharmonian selama ini adalah disebabkan rakyatnya menerima kepelbagaian kaum yang kini menjadi sumber kekuatan negara ini.

Menyatakan demikian malam tadi, Menteri Kanan, Profesor S. Jayakumar, berkata masyarakat Singapura sebenarnya bekerja keras untuk menggalakkan sikap harmoni, persefahaman dan toleransi antara satu sama lain.

'Kita mungkin berbeza tetapi kita harus memahami dan menghormati perbezaan kita.
'Setiap satu daripada kita mempunyai adat tradisional dan melalui majlis-majlis seperti ini, kita boleh memahami tradisi bangsa-bangsa lain,' ujarnya di majlis iftar di Masjid Khadijah malam tadi.

Dalam ucapannya itu, beliau, yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Nasional, turut mengalu-alukan kerja-kerja amal yang dilakukan masjid tersebut.
Menurutnya, Masjid Khadijah merupakan contoh yang berjaya mengadakan aktiviti-aktiviti yang menggalak keharmonian hidup bersama.

Majlis iftar semalam dianjurkan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).

Antara yang hadir termasuk Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Dr Yaacob Ibrahim; Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Haji Alami Musa; Mufti Syed Isa Semait; Anggota Parlimen bagi GRC Marine Parade, Dr Fatimah Lateef; dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

Pengerusi Bersama RRG, Ustaz Haji Ali Haji Mohamed, dalam ucapannya, pula berkata masyarakat Muslim Singapura mempunyai tanggungjawab mengambil berat kebajikan warga Singapura yang lain.

'Kewajipan kita ialah menunjukkan keindahan Islam dan pada waktu yang sama menyumbang kepada kemantapan dan kemakmuran negara,' ujarnya.

Ustaz Haji Ali berkata peranan RRG kini ialah mengasuh generasi asatizah yang akan datang.

'Kami ingin mengasuh mereka untuk menjadi kaunselor.

'Kini RRG sedang terus mencari lebih ramai lagi asatizah dan relawan untuk menyertai kami,' katanya.

Apabila diminta mengulas mengenai majlis tersebut, Dr Fatimah berkata 'masyarakat berbilang kaum seperti Singapura harus sentiasa berusaha mengeratkan lagi silaturahim antara kaum'.

Bagi Ketua Rahib Kuil Nan Hai Fei Lai, Cik Lai Sai Hoon, beliau gembira kerana dapat menghadiri majlis iftar tersebut.

'Ia mencipta peluang bagi masyarakat Singapura berpadu dan mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat,' ujarnya.

No comments:

Post a Comment