Thursday, September 3, 2009

Anang dan Krisdayanti dilapor bercerai menjelang Ramadan

KETIKA SAAT BAHAGIA: Penyanyi Krisdayanti bersama bekas suaminya, Anang, dan dua anak mereka, Titania Aurelie (kanan) dan Azriel Akbar Hermansyah. -- Foto NYATA
2 Sep 2009
JAKARTA:

Setelah beberapa lama dilanda spekulasi pergolakan rumah tangga dan mengelak daripada perhatian pihak media, akhirnya penyanyi dan ahli muzik, Anang Hermansyah, yang juga suami kepada penyanyi 'diva' Indonesia, Krisdayanti, mengaku bahawa mereka telah bercerai, menurut beberapa laporan setempat kelmarin.

Anang mengakui bahawa beliau telah menceraikan Krisdayanti empat hari sebelum Ramadan bermula.

Perceraian tersebut dijalankan mengikut lunas-lunas Islam, yang bermakna ia masih belum didaftarkan di mahkamah syariah.

'Jangan salah anggap, yang meminta cerai bukannya saya tetapi Yanti yang memintanya,' kata Anang, yang dipetik laporan laman berita dalam talian, Detikcom.

Anang berkata mereka telah membincangkan pelbagai aspek perceraian itu.

Ini termasuk pembahagian asetaset milik pasangan itu, yang dianggarkan bernilai berjuta dolar, kata laporan versi dalam talian akhbar The Jakarta Globe.

Pasangan tersebut dikatakan bersetuju memberi hak penjagaan anak-anak mereka kepada Anang.

Anang, yang menikahi Krisdayanti pada 1996, enggan memberitahu punca perceraian itu.

Bagaimanapun, anak perempuan sulung pasangan tersebut, Titania Aurelie Hermansyah, 11 tahun, dilaporkan memberitahu stesen televisyen swasta SCTV bahawa pada satu ketika sedang dia berenang, ibunya berada dalam bilik tidur bersama seorang lelaki.

Menurut Titania Aurelie, lelaki tersebut adalah seorang ahli perniagaan dari Timor Timur.

Anang dan kedua-dua anaknya dilaporkan telah menginap di firma penerbitan pasangan itu sejak dua minggu lalu, menurut The Jakarta Globe.

'Orangnya siapa saya tidak mahu katakan, tapi saya sudah ingatkan dia jangan main api,' kata Anang, yang ditukil dalam laman berita Kompas.com.

'Sudah satu kali, dua kali, sampai tiga kali saya sudah ingatkan, tapi tetap tidak diendahkan,' ujar beliau.

No comments:

Post a Comment