Monday, August 31, 2009

KEMUSYKILAN AGAMA: Keluarga dan Rumah Tangga

23 Ogos 2009

SOALAN:

SAYA keliru dengan percanggahan pendapat mengenai perbuatan seseorang perempuan yang belum berkahwin membuang bulu kaki, tangan dan atas bibir (menggunakan sistem laser) atas keinginan dan kepuasan hati, bukan niat untuk menunjuk kerana dia menutup aurat apabila keluar rumah. Saya ingin tahu apa hukumnya?

JAWAPAN:

Wanita yang berkahwin lebih luas skop perhiasannya yang mana jika dilakukan dengan niat untuk suami, ia menjadi harus. Bagi seorang gadis, sesuatu hukum itu berdasarkan juga pada niat dia melakukannya dan tidak boleh sampai membawa kepada penipuan dan pemalsuan dirinya yang sebenar.

Semua ini bagi memelihara daripada berlaku penipuan bagi lelaki yang ingin meminang.Hukum memakai hiasan adalah harus, kecuali jika ada nas yang mengharamkan berdasarkan firman Allah dalam surah al-Akraf, ayat 32 yang bermaksud: "Katakan siapa yang mengharamkan perhiasan yang Allah keluarkan untuk hambanya."

Seorang wanita juga pada asalnya tidak berbulu pada bibir dan kawasan lain yang disebut tadi. Oleh itu jika dia membuangnya kerana khuatir menyerupai lelaki atau demi menjaga kecantikan kerana Allah itu cantik dan suka pada yang cantik tanpa ada rasa ingin riak dan menunjukkan kecantikannya, ia tidak salah. – MyMetro.

SOALAN:

SAYA seorang lelaki berusia 25 tahun dan kini menetap bersama ibu bapa dan keluarga. Saya bekerja sebagai eksekutif dengan pendapatan bulanan yang 'bolehlah tahan'.

Saya mempunyai seorang teman wanita yang seusia dengan saya dan bertugas sebagai pegawai pergigian. Saya dan teman wanita merancang mendirikan rumah tangga, tetapi hasrat kami ditentang ibu bapa saya.

Mereka meminta saya menunggu dua tahun lagi kerana kakak masih belum berkahwin lagi. Mereka tidak mahu saya melangkah bendul. Namun saya tak yakin dengan janji ibu bapa saya.
Saya mendapatkan pandangan datuk tetapi pendapat datuk ditentang keras ibu bapa saya yang mendakwa mereka lebih berhak dan lebih tahu menentukan masa depan anaknya.

Saya bertekad untuk melangsungkan juga perkahwinan saya ini pada tahun depan tanpa membabitkan ibu bapa saya. Apakah tindakan ini akan menyebabkan saya berdosa besar dan disifatkan sebagai anak derhaka? Bolehkah saya meneruskan juga niat saya itu?

JAWAPAN :

Berkahwin adalah satu sunah Rasulullah saw. Hukumnya harus tetapi boleh menjadi wajib jika keadaan mendesak sehingga boleh membawa kepada perkara tidak baik.

Selalunya, langkah bendul diibaratkan sesama wanita dan bukannya lelaki. Tidak timbul istilah langkah bendul bagi adik lelaki. Perkahwinan adalah perkara baik yang seelok-eloknya biarlah mendapat restu ibu bapa.

Namun jika ada ibu bapa yang kurang faham tuntutan agama dan hukumnya sehingga menimbulkan kemudaratan, maka buatlah yang terbaik untuk diri sendiri.

Bagi seorang lelaki, dia tidak memerlukan wali untuk bernikah cuma jika mampu, pernikahan dilangsungkan dalam keadaan restu ibu bapa. Tanpa restu mereka, bimbang pula implikasi nanti pada menantu dan masa akan datang.

Ada baiknya jika anda berbincang dengan kakak anda untuk membantu anda dalam hal ini sama ada dengan cara dia rela membiarkan adiknya berkahwin dulu dan memujuk ibu bapa agar bersetuju dengannya. – Harian Metro.

SOALAN:

APAKAH berdosa apabila saya menolak kehendak suami yang mengajak bersamanya (bersetubuh) sedangkan selepas itu didapati haid saya masih belum betul-betul kering?

JAWAPAN:

Tidak halal bagi seseorang itu melakukan persetubuhan selepas kedatangan haid melainkan sesudah dirinya bersuci dan mandi hadas, barulah larangan tersebut terangkat kembali.
Ini berdasarkan firman Allah swt yang bermaksud:

"Maka jangan kamu hampiri mereka sehingga mereka bersuci (mandi hadas) dan bila mereka sudah bersuci, maka datangilah mereka sebagaimana yang disuruh Allah. Allah suka orang yang bertaubat dan bersuci, wanita (isteri) kamu itu ladang kamu maka datangilah ladang (kebun) kamu itu sekehendak (hati) kamu. – Surah al-Baqarah: 222-223.

Tetapi sekiranya terlanjur juga semasa dalam pantang tersebut kerana sesuatu kesilapan seperti hitungan dan perkiraan yang salah, maka kata ulama, digalakkan melakukan sedekah satu dinar atau satu cupak (makanan) kepada fakir miskin untuk satu kesalahan yang telah berlaku sebagai kafarahnya.

Demikianlah pendapat kebanyakan ulama. Wallahuaklam. – Utusan Malaysia.

No comments:

Post a Comment