Sunday, August 30, 2009

'Upacara' musiman bermula lagi...

23 Ogos 2009
RAMAI yang tiba seawal 12 tengah hari.

Ada yang berdiri berpeluk tubuh, tetapi ada yang bernasib baik dapat bersandar di tembok.
Gelagat mereka beraneka, namun, matlamatnya satu - bukan untuk menjadi Singapore Idol yang ketiga, sebaliknya membeli nasi ambeng bungkus untuk santapan berbuka puasa.

Sesungguhnya, pemandangan di bazar Ramadan seperti di kolong Blok 440 Jurong West Avenue 1 adalah antara suasana musiman yang pasti dapat kita lihat setiap kali Ramadan tiba.

Suasana begini yang dinanti-nantikan penggemar nasi ambeng, Encik Sharul Arshad, 33 tahun, yang datang dari pejabatnya di Katong seawal 1 petang untuk beratur di gerai itu.

Begitu juga dengan Encik Saat Salim, 44 tahun dan keluarganya. Bapa seorang anak itu sedang asyik memilih kuih-muih untuk juadah berbuka semasa ditemui.

'Memang saya tidak bekerja hari ini... oleh itu saya sengaja bawa anak isteri bersiar-siar melawat bazar-bazar yang ada,' katanya.

Namun, kesibukan Ramadan bukan hanya terhad di bazar sahaja. Kegiatan-kegiatan di masjid juga semakin rancak.

Masjid Al-Mawaddah di Compassvale Bow, Sengkang misalnya, dari awal lagi membuat persiapan untuk menyambut Ramadan buat kali pertama. Ia bercadang menyediakan bubur sepanjang bulan mulia ini.

Pengerusi eksekutifnya, Encik Mohamed Rafii Abdul Hamed, 41 tahun, berkata pihaknya telah memperuntukkan tiga periuk besar bubur yang akan diagihkan kepada orang ramai.

'Pastinya semua ini mencabar kerana ia adalah kali pertama kami melakukannya. Tapi, mujur dengan kerjasama kakitangan masjid dan sukarelawan, semuanya berjalan lancar,' katanya.

Masjid itu turut menyediakan juadah berbuka puasa seperti nasi putih dan lauk-pauk.
'Kami juga menerima apa jua sumbangan berbuka puasa daripada sesiapa yang ingin menderma,' katanya.

Di Masjid Khalid di Onan Road pula, sekitar 100 sukarelawan - kebanyakannya terdiri daripada warga setempat -- tampil menghulurkan bantuan di masjid itu seawal selepas solat subuh.

Selain warga setempat, sukarelawan warga asing yang berasal dari Malaysia, Indonesia, Bangladesh dan India juga turut sama bergotong-royong.

Salah seorang daripada mereka, Encik Alamgir Muharshin, 41 tahun, warga Bangladesh, telah hampir lima tahun menjadi sukarelawan musiman di masjid tersebut.

Beliau rela meluangkan masa rehatnya daripada bekerja di tapak pembinaan untuk membantu kakitangan masjid serta sukarelawan lain untuk menyediakan bahan-bahan masakan.

'Kehadiran ramai rakan-rakan lain mengurangkan rasa rindu saya kepada keluarga di rumah,' ujar bapa tiga anak itu lagi sambil mengesat peluh di dahi.

Pengerusi Masjid Khalid, Encik Allaudin Mohamed, menganggarkan sekitar 1,000 jemaah akan berbuka puasa di masjid itu pada setiap hujung minggu.

Sebab itulah beliau berasa beruntung mempunyai warga kerja sukarelawan yang rajin.

'Sesiapa yang ingin melihat contoh cara orang bergotong-royong dengan berkesan haruslah datang ke mari dan melihat kami bekerja,' katanya, dengan senyuman bangga

Bagaimanapun, contoh gelagat musiman yang kurang diingini masih wujud juga di kalangan masyarakat kita dalam bulan Ramadan ini.

Ada yang masih tidak segan-silu mengisi perut di khalayak ramai, walaupun ada cara yang lebih sulit untuk berbuat demikian.

Lebih mengaibkan, ada beberapa individu Melayu yang dilihat sedang 'menikmati' minuman keras tanpa segan silu semasa Berita Minggu melawat beberapa kedai kopi kaki lima di Geylang Serai semalam.

Tidak beberapa jauh dari sana, di kawasan Kampung Jawa pula, satu lagi gelagat musiman telah bermula.

Segolongan pengemis akan cuba mengambil kesempatan meminta ihsan daripada orang yang berlalu-lalang di kawasan tersebut.

Seorang daripada mereka, Cik Fatimah, 52 tahun, mengaku selalu berdiri di pekarangan Masjid Sultan di North Bridge Road untuk meminta ihsan jemaah masjid pada hari Jumaat dan pada bulan Ramadan.

'Apa boleh buat, saya orang miskin dan perlukan wang untuk membeli ubat.

'Wang yang diberi anak tak cukup pula,' ujar Cik Fatimah yang menghidap penyakit tekanan darah tinggi.

Menurutnya, pendapatan pengemis di kawasan itu akan meningkat dua tiga kali ganda pada bulan Ramadan.

Hikmah Ramadan, sesungguhnya adalah untuk semua.

No comments:

Post a Comment