Sunday, August 30, 2009

Polis tahan lelaki berpoligami 14 isteri

29 Ogos 2009

MUMBAI:

Seorang pekerja sebuah syarikat penerbangan berusia 40 tahun ditahan polis kelmarin kerana mempunyai 14 isteri.

Encik Tushar Waghmare, yang berasal dari Mumbai menipu semua isterinya dengan mendakwa beliau sentiasa sibuk kerana tugas.

Tembelang kakitangan Air India itu, yang menggunakan Internet untuk mengatur semua perkahwinannya terbongkar apabila seorang daripada isterinya bertembung dengan seorang lagi ketika meninggalkan rumah lelaki itu.

Lima daripada 14 wanita berkenaan kemudian membuat laporan polis.

Sembilan lagi isterinya memilih untuk berdiam diri kerana malu.

Encik Tushar mendakwa beliau tidak boleh duduk serumah dengan setiap isterinya kerana tugasnya tidak membenarkan dia berbuat demikian.

Beliau sebaliknya menempatkan isterinya di serata negeri di seluruh India, dari Mumbai di selatan hingga ke Rajasthan di utara.

Beliau mengaku kepada polis bahawa beliau melayani setiap isterinya dengan adil tetapi menghadapi masalah kewangan kerana hanya berpendapatan 63,736 rupee ($1,882) sebulan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Mumbai, Encik R. M. Vhatkar, berkata kerana tertarik dengan jawatannya tidak seorang pun isteri atau ibu bapa mereka menyelidik latar belakang lelaki itu.
Laman web mencari jodoh semakin popular di India.

Encik Tushar mendaftarkan diri dalam satu laman web itu dengan menggunakan nama samaran dan menyatakan dia baru bercerai serta ingin mencari pengganti tanpa mengira balu atau janda.
Beliau akan menghabiskan masa tiga hari dengan setiap isterinya sebelum meneruskan kegiatannya.

Sementara itu, Air India mengambil tindakan disiplin terhadap lelaki itu dengan memecatnya. -- Agensi.

No comments:

Post a Comment