Sunday, August 30, 2009

Keluhan ibu terbuang

30 Ogos 2009

APABILA bergerak, beliau memerlukan tempat untuk berpaut. Tetapi selepas beberapa langkah saja, Cik Mariam (bukan nama sebenar) terpaksa berhenti sejenak sambil menarik nafasnya.

Namun, meskipun agak terketar-ketar, nenek berusia 71 tahun itu masih tetap kuat semangat untuk berjalan sendirian tanpa dipimpin atau ditemani anak atau cucu ke mana saja yang ditujunya.

Bukan itu sahaja, sejak awal tahun ini, tiada lagi ketawa riang atau tangisan cucu yang beliau dengar. Dan tiada lagi tempat untuk beliau mengadu nasib.

Sebaliknya, kakitangan dan rakan-rakan di Rumah Tumpangan Orang-Orang Tua Pertapis di Toa Payohlah yang menjadi teman ketawa dan tempat beliau mengongsi rasa duka.

Nenek yang menghidap sakit jantung itu kini merupakan salah seorang penghuni di rumah tumpangan itu. Keempat-empat anaknya enggan menjaganya selepas beliau menjangkau usia tua, demikian katanya.

Kes beliau dirujuk kepada rumah tumpangan itu pada Februari lalu selepas beliau dimasukkan ke hospital akibat masalah lemah jantung.

'Sejak dimasukkan ke mari, hanya anak sulung yang datang jenguk. Itu pun bila dia ada masa saja. Ada dua anak lelaki - kedua-dua tak boleh harap.

'Yang seorang kini tinggal di negara jiran dengan keluarganya sendiri. Batang hidung pun tak nampak. Yang seorang lagi anak lelaki pula pernah cakap dia tak nak jaga saya lagi, sebab isterinya yang tak suka saya,' kata wanita berkulit putih itu lagi.


Menceritakan nasibnya, Cik Mariam berkata sejak berpisah dengan suaminya sekitar 30 tahun lalu, beliaulah satu-satunya pencari nafkah untuk keluarganya.

'Tangan inilah yang membesarkan mereka. Tangan inilah yang digunakan juga untuk mencari nafkah keluarga. Saya sedih betul kerana selepas membesarkan dan memberikan pendidikan serta menguruskan semua hal rumah tangga tanpa seorang suami, saya dihantar ke mari.

'Walau pun mereka jarang beri sebarang sumbangan, saya tak pernah minta. Mereka beri, tapi itu pun masa Hari Raya saja. Ibu mana yang tak sedih jika anak-anak lakukan begini...' kata-katanya terhenti seketika.

Dan sambil mengesat air matanya, beliau menambah:

'Walau apa pun, saya tetap doakan kesejahteraan mereka dan semoga Tuhan membuka pintu hati anak-anak saya itu. Pucuk pangkal, buruk macam mana pun, mereka tetap anak-anak saya.'

Kini beliau dijaga oleh seorang anak angkatnya yang datang untuk memberikan sedikit sumbangan kepada rumah itu.

'Anak angkat saya cuba sedaya upaya bantu. Dialah yang cuba uruskan ongkos sepanjang saya duduk di rumah ini. Tapi saya tak boleh harapkan sangat kerana dia buruh kasar di tapak binaan,' tambahnya.

Ditanya sekiranya anak kandungnya sendiri akan membawanya pulang sempena Syawal nanti, Cik Mariam berkata:

'Semasa anak sulung saya datang baru-baru ini, dia tak cakap apa-apa pun. Lagi pun, rumah tangga dia pula sedang hadapi masalah. Kalau tidak pun, saya beraya sajalah di rumah ini bersama penghuni yang lain. Saya hanya akan telefon dia sajalah, kalau dia tak ambil saya.'

Menurut Cik Mariam, pada awalnya beliau berasa terlalu sedih apabila dihantar ke rumah tumpangan itu. Namun, lama-kelamaan, selepas beberapa minggu duduk di rumah tumpangan itu, fikirannya lebih tenang kerana pelbagai program disediakan untuk para penghuninya setiap hari.

Antara program yang disediakan di rumah tumpangan itu termasuk kelas mengaji dan senaman yang dikhususkan untuk warga lanjut usia sepertinya.

No comments:

Post a Comment