Sunday, August 30, 2009

Selepas berkeluarga, ibu sendiri dicampak keluar

30 Ogos 2009

SEMASA anaknya hendak membeli rumahnya sendiri, Cik Jenap (bukan nama sebenar) rela namanya digunakan memandangkan pada ketika itu anaknya itu masih bujang.

Tetapi selepas rumah dibeli, dan anaknya itu berumah tangga, semua jasa ibunya dilupakan begitu saja.Si menantu pula mula menunjukkan sikap tidak sukanya terhadap ibu mentuanya itu.

Umpama habis manis sepah dibuang.

Selepas memenuhi segala hajatnya itu, si ibu pula diminta keluar rumah.
Sejak itu, tidak sesen pun disumbangkan kepada ibunya itu.

Cik Jenap kemudian berpindah ke rumah seorang lagi anaknya.

Sekali lagi nasib malang menimpanya dan selepas beberapa bulan menetap di rumah itu, si menantu lelaki pula memberi alasan bahawa anak-anaknya sudah besar dan memerlukan bilik mereka sendiri.

Dan semasa keluar dari rumah itu, sekali lagi beliau tidak menerima sesen pun daripada anaknya itu.

'Apa nak buat? Kalau anak sendiri diam selepas suaminya kata begitu pada saya, faham-fahamlah saja ya, mak cik pun terpaksalah kemas beg pakaian,' jelas nenek yang berusia 69 tahun itu lagi.

Nasib sedemikian berulang setiap kali beliau berpindah ke rumah anak-anaknya yang lain.

Akhirnya selepas beberapa tahun duduk menumpang di flat anak kelimanya yang juga anak bongsunya, Cik Jenap, seorang janda, mengambil keputusan untuk berpindah ke rumah tumpangan Orang-Orang Tua Pertapis di Toa Payoh.

'Selama tempoh saya menjanda selepas berpisah dari suami, saya berdikari. Saya bekerja sebagai pekerja pembersihan dengan gaji sekitar $600 hingga $700.

'Ketika itu saya pernah menetap dengan salah seorang saudara saya. Anak-anak hanya beri sumbangan wang - setahun sekali - masa Hari Raya saja.

'Agaknya adalah sekitar $20 hingga $50 begitu,' katanya.

Beliau yang mempunyai seramai lima anak juga mempunyai lebih daripada 10 orang cucu.
Ditanya sama ada cucu-cucunya datang menziarahinya, Cik Jenap menjawab:

'Sejauh ini ada seorang yang datang ke mari sejak saya tinggal di rumah ini awal tahun lalu. Yang lain, tak tahulah ya, mungkin kerana mereka masih di sekolah, atau ibu bapa mereka yang enggan bawa mereka jumpa saya.'

Mengenai sumbangan kepadanya, Cik Jenap berkata sejauh ini anak-anaknya hanya memberinya antara $20 hingga $50 - hanya pada Hari Raya.

'Jadi untuk memastikan mereka terus beri sumbangan, saya telah ke Tribunal Tanggungan Ibu Bapa di Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan (MCYS) untuk menuntut hak saya daripada anak-anak.

'Dan kini setiap bulan, tiga daripada mereka memberi sejumlah $200 secara keseluruhannya. Mereka masukkan terus ke akaun saya.

'Mereka tak sanggup jaga saya, kini biar mereka rasa bayar tanggungan. Padahal sebelum ini saya belum pernah minta mereka apa-apa selain bayaran jaga anak- anak mereka,' katanya.

Ditanya pula apa yang sangat dirinduinya, nenek yang fasih berbahasa Inggeris itu berkata:

'Pastinya cucu-cucu yang pernah saya jaga. Saya jaga enam daripada mereka. Awak bayangkan, saya jaga mereka sejak mereka lahir sehinggalah mereka besar. Dah besar, saya diminta keluar dari rumah oleh ibu bapa mereka.

'Takkah sedih?'

Tetapi, Cik Jenap masih tetap menyayangi kesemua anak dan cucu-cucunya itu.
'Saya dapat rasakan apa yang mereka maksudkan meskipun dalam hati. Jadi sebab itulah saya berpindah keluar dari rumah mereka.

'Sebabnya saya enggan mereka suami isteri bertengkar lalu berpisah gara-gara saya. Saya dah alami hidup menjanda, saya enggan mereka pula hadapi nasib yang sama,' tambahnya.

No comments:

Post a Comment