Sunday, August 30, 2009

Ramai akur anak-anak yang abai ibu bapa patut dihukum

30 Ogos 2009

ANAK-ANAK yang mengabaikan ibu bapa mereka patut dihukum.


Sekurang-kurangnya jika tidak disaman, anak- anak yang mengabaikan ibu bapa mereka patut diarah memberi sumbangan kepada orang tua mereka, atau hadapi risiko dihukum penjara.

Rata-rata ibu bapa yang dihubungi berasa bahawa langkah pemerintah mengarahkan anak-anak membayar tanggungan terhadap penjagaan orang tua mereka adalah wajar.

Tetapi mereka akur bahawa hukuman tidak akan dapat menjamin sokongan emosi antara ibu bapa dengan anak-anak mereka itu.

Salah seorang daripada mereka, Cik Salwa Ibrahim, 51 tahun, berkata sekiranya anak-anak dihukum kerana enggan membayar tanggungan kepada ibu bapa, maka ini boleh memberi kesedaran kepada yang lain.

'Memang patut anak-anak sedemikian dihukum.

'Ini boleh memberikan sedikit kesedaran kepada yang lain supaya tidak melakukan perkara sedemikian,' tambahnya.Tetapi seorang lagi ibu, Cik Zaniah Abdul Halim, 49 tahun, yang menyokong tindakan berat terhadap anak- anak yang mengabaikan ibu bapa, khuatir ia boleh mengeruhkan terus hubungan antara anak dengan ibu bapa itu buat selama-lamanya.

'Ini mungkin boleh menambah kebencian anak-anak itu terhadap ibu bapa mereka. Akibatnya, hubungan antara mereka akan bertambah keruh buat selama-lamanya,' katanya.

Sebaliknya, Encik Mohamad Ismail, 29 tahun, yang kini menjaga kedua-dua orang tuanya, menyarankan agar diadakan anugerah anak-anak contoh sebagai satu cara memberi perangsang kepada anak-anak lain.

'Kita ada anugerah seperti Ibu Misali.

'Mengapa tidak adakan juga anugerah Anak Teladan? Pada masa yang sama, saya rasa hukuman memang patut diperketatkan.

'Tapi satu lagi cara mengatasinya ialah dengan memperkenalkan anugerah sedemikian. Mudah-mudahan, terbuka pintu hati anak-anak semua,' jelas kakitangan di sebuah syarikat kejuruteraan itu lagi.

Dalam ucapan bahasa Mandarinnya di Rapat Hari Kebangsaan baru-baru ini, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata, pemerintah akan mengkaji cara terbaik untuk menggunakan Akta Tanggungan Ibu Bapa (Maintenance of Parents Act) untuk memastikan anak-anak menjalankan tanggungjawab mereka.

Hal ini timbul menyusuli pertemuan beliau dengan beberapa pengurus rumah rawatan yang memberitahunya tentang warga tua yang diabaikan keluarga mereka.
Anak-anak warga tua ini berkata mereka tidak peduli sekiranya rumah-rumah itu mengarahkan ibu bapa mereka keluar.

Tahun lalu, seramai 172 warga tua telah memohon kepada Tribunal Tanggungan Ibu Bapa untuk mendapatkan sokongan kewangan daripada anak-anak yang mengabaikan orang tua mereka.

Angka tersebut adalah seganda lebih tinggi berbanding purata permohonan yang dibuat pada tahun-tahun sebelumnya.

Akta Tanggungan Ibu Bapa yang wujud sejak 1996, membenarkan ibu bapa memfailkan saman di Mahkamah Keluarga dan menyaman anak-anak mereka untuk tanggungan.

Bulan lalu, akhbar The Straits Times melaporkan bahawa sesetengah warga Singapura menggunakan kegawatan ekonomi sebagai alasan untuk mengelak daripada membayar bil rumah rawatan ibu bapa mereka.

No comments:

Post a Comment