Sunday, September 13, 2009

Berhematlah belanja jelang Raya

9 Sep 2009
Nenek

KURANG dari dua minggu, kita semua akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Sudahkah anda membuat persiapan?

Nenek yakin... tentu sudah siap. Nenek dapat tahu, ada yang sudah siap beberapa botol kuih di rumah. Ada pula masih merancang membuat beberapa jenis biskut dan kek.

Di rumah Nenek, anak Nenek, si Noni, kata dia malas nak bikin kuih. Anaknya, Lina, pula sibuk nak bikin kuih sebab katanya, kalau tak bikin kuih, tak rasa macam Hari Raya.

Nenek tak kisahlah... dia nak bikin ke tidak, terpulanglah pada dia. Tapi bagi Nenek,
sebagaimana tahun-tahun lalu, Nenek mesti bikin paling sikit tiga jenis kuih tradisional - kuih tart nanas, bangkit dan kuih makmur.

'Itu kuih wajib. Lain kuih tak ada tak apa. Tiga jenis kuih ini mesti ada dalam senarai kuih-muih Raya di rumah kita ni,' kata Nenek.

'Ala... beli saja sudahlah mak. Tak penat, tak berkecah rumah kita,' kata Noni.

'Tidak. Emak tetap nak buat sendiri. Beli tak muai. Mahal. Dahlah gitu, kadangkala tak sedap pula. Keras, tak rapuh,' kata Nenek.

Nenek tengok kebanyakan kaum isteri sekarang, terutama yang muda-muda, dah tak kisah lagi soal buat kuih-muih Raya ni. Semuanya nak dibeli, semuanya nak ambil mudah.

'Kita bukan malas mak. Tapi tak ada masa. Dahlah penat bekerja di pejabat tu, balik rumah nak masak untuk buka puasa, nak siapkan juadah sahur.

'Anak-anak pula akan menduduki peperiksaan. Kita jadi emak bapak ni, mesti nak tengok pula pelajaran diaorang.

'Jadi, Noni rasalah... memang lebih baik beli saja. Badan tak penat, dapur tak kecah, pelajaran anak-anak pun boleh kita tengok-tengok, boleh kita pantau,' kata Noni, yang memang tak kuasa nak bikin kuih.

Bukan itu saja, langsir, sarung kusyen pun dia tempah atau beli yang sudah siap.

'Hai... jadi-jadi malasnya kau ni ya Noni,' kata Nenek kepadanya.

Noni tersenyum saja sambil berkata: 'Rezeki yang kita dapat, kita kongsilah dengan tukang bikin kuih dan tukang jahit. Kata orang, saling membantu.'

Noni tak kuasa, dia angkat kaki dan tinggalkan Nenek sendirian di dapur.

Begitulah keadaan sekarang. Kalau kita fikir-fikir, memang benar juga. Kalau semua kita nak buat sendiri, apa hal dengan orang-orang yang mencari makan dengan berjualan dan mengambil upah memasak, membuat kuih atau menjahit?

Cuma rasa Nenek ni... kalau kita berbelanja Raya - tidak kiralah dalam membeli kuih, beli pakaian atau menghias rumah, berpada-padalah... berjimatlah. Elakkan pembaziran.

Bagi mereka yang anak-anaknya masih bersekolah, ingat-ingatlah... tahun baru persekolahan akan menjelang tidak lama lagi. Banyak belanja perlu dikeluarkan untuk buku, pakaian (jika perlu) dan lain-lain keperluan.

Jangan naik syok belanja buat persiapan Raya, terlupa pula keperluan persekolahan anak-anak.

Mudah-mudahan seruan-seruan Pemerintah agar kita semua berhemat, dapat kita laksanakan.

Sempena Ramadan yang mulia ini, marilah kita sama-sama bermuhasabah diri kita. Kita lihat mana-mana sikap atau perangai buruk kita, termasuk dalam pembaziran berbelanja, ubahlah.

Mudah-mudahan berkat Ramadan, kita akan menjadi insan yang lebih baik, insya-Allah.

Kepada semua, Nenek ucapkan selamat meneruskan ibadah puasa.

No comments:

Post a Comment