Sunday, September 13, 2009

Dirompak ketika isi minyak di JB

DIROMPAK DI KEDAI MINYAK: Cik Salbiah menunjukkan bagaimana beg tangannya dilarikan perompak yang datang tiba-tiba dan membuka pintu penumpang kanan ketika kereta yang dinaikinya berhenti di kedai minyak Shell dekat Kampung Majidee. -- Foto JOHARI RAHMAT

9 Sep 2009

SEORANG wanita Singapura kehilangan barang kemas, wang dan telefon bimbing berjumlah lebih $2,000 apabila beg tangannya dilarikan semasa kereta yang dinaikinya berhenti di sebuah kedai minyak dekat Kampung Majidee, Johor Bahru, sekitar 1 pagi semalam.

Kejadian itu berlaku semasa Cik Salbiah Hajab, 48 tahun, dalam perjalanan pulang ke Singapura setelah berbelanja di bazar Ramadan di Pandan City di Johor Bahru.

Ketika itu beliau bersama keluarga anak saudaranya, Cik Siti Salwati Ja'afar, cerita Cik Salbiah semasa ditemui di rumah Cik Salwati, 31 tahun, di Simei semalam.

Menurut Cik Salwati, semasa mereka menunggu dalam kereta sedang minyak diisi di kedai minyak Shell di Jalan Tebrau itu, seorang lelaki dengan tiba-tiba membuka pintu penumpang bahagian kanan dan melarikan beg tangan Cik Salbiah yang diletak di ruang di belakang.

'Kami tidak perasan dia datang dari arah mana. Tahu-tahu saja dia buka pintu dan terus seluk bahagian belakang kereta dan rampas beg saya. Lepas itu dia terus membonceng motosikal kawannya dan mereka pecut lari.

'Waktu itu saya tidak terfikir untuk buat apa-apa. Saya hanya pentingkan keselamatan cucu saudara yang saya pangku.

'Nasib baik kami tidak diapa-apakannya,' ujar Cik Salbiah, seorang pemandu bas SBS Transit.
Ibu tiga anak itu kehilangan seutas gelang emas bernilai $2,000, wang $50, telefon bimbit Sony Ericsson, kad ATM, kad debit dan lesen memandu.

Pasport beliau, bagaimanapun, tidak disimpan dalam beg itu.

Menurut Cik Salwati, seorang pengurus operasi pusat senaman, suasana menjadi hingar-bingar seketika dengan jeritan cemas dan tangisan anaknya, Nabil, apabila mereka menyedari kejadian itu.

Sebaik-baik saja selepas minyak diisi, adik Cik Salwati, Cik Seriwati, 23 tahun, memandu kereta jenis Suzuki Swift itu untuk mengejar lelaki tersebut.

'Perasaan saya bercampurcampur, geram ada, takut pun ada. Walaupun kami kejar pencuri itu sampai ke kawasan kampung, kami tidak berani pergi jauh lagi kerana keadaan terlalu gelap dan hati saya rasa sangat tak senang.

'Sehingga sekarang saya masih trauma,' kata Cik Salwati.

Menurut beliau, lelaki itu berumur 20-an tahun, agak kurus dan sederhana tinggi.

Cil Salwati mengesyaki mereka diekori sejak di Pandan City kerana semasa di bazar itu, ayahnya Encik Ja'afar Sarkawi, membahagi-bahagikan wang RM50 kepada setiap seorang daripada mereka untuk berbelanja.

Pencuri itu bertindak ketika mereka leka semasa di kedai minyak, ujarnya.

Menurut Cik Salbiah, mereka kemudian langsung ke balai polis Johor Bahru Central untuk membuat laporan.

Setiba di Singapura, Cik Salbiah bersama Cik Salwati membuat laporan di Pusat Polis Kejiranan (NPC) Changi di Simei Street 2.

Berikutan kejadian itu, suami Cik Salbiah tidak mengizinkan beliau berbelanja di Johor Bahru lagi demi mengelak kejadian tersebut berulang.

'Nasib baik kami tidak diapa-apakan dan pasport kami tidak hilang. Kejadian itu memberi kami semua pengajaran supaya lebih waspada' kata Cik Salbiah, yang hanya tiba ke rumah sekitar 5.15 pagi.

No comments:

Post a Comment