Sunday, September 13, 2009

Pengemis asing Ramadan banjiri Singapura

PENGEMIS ANTARABANGSA: Pengemis berkopiah putih ini, yang dilihat di Geylang Serai, adalah antara puluhan warga Asia Selatan yang membanjiri negara ini setiap Ramadan bagi 'memanfaatkan' sikap murah hati masyarakat Muslim Singapura yang berlebihan dalam bulan puasa. -- Foto TAUFIK A. KADER

12 Sep 2009

ADA melakukannya sendirian dan ada pula secara berkumpulan. Yang buta pula menggunakan 'tekong' untuk memandu jalan.

Itulah antara gelagat pengemis asing semasa Berita Harian membuat pemerhatian ke atas mereka di sekitar kawasan Geylang Serai dan Masjid Sultan selama tiga hari barubaru ini.

Ada yang semasa ditemui tidak segan silu menunjukkan wang kertas setebal lima sentimeter yang telah diterima hasil 'kerja keras' mengemis dua hingga tiga jam sehari.

Kebanjiran pengemis asing di sini dek kemurahan hati penduduk Singapura yang mudah memberi wang kepada pengemis, baik dari dalam mahupun luar negara.

Ini diakui sendiri oleh beberapa pengemis yang ditemui. Tinjauan akhbar ini mendapati rata-rata orang ramai memberi wang kertas $2 atau lebihan duit syiling.

Kebanyakan pengemis lelaki warga asing berumur 30-an hingga lewat 40-an tahun, datang dari rantau Asia Selatan dan memakai baju lengan panjang atau ghamis, berseluar panjang dan berkopiah.

Ada daripada mereka berpakaian selekeh, membawa tongkat atau beg plastik 'pasar' merah mengandungi pakaian atau membawa bungkusan makanan dan air botol untuk mengelabui mata orang ramai demi menagih simpati.

Pengemis wanita pula, berusia lewat 30-an hingga awal 50-an tahun dan dipercayai datang dari Malaysia dan Indonesia. Ini dapat dipastikan setelah mendengar perbualan mereka dalam bahasa Melayu yang pekat dengan loghat daerah masing-masing.

Seperti pengemis lelaki, mereka berpakaian selekeh, dengan baju dan tudung tidak sepadan warna.

Ada daripada mereka membawa anak sebagai helah untuk meningkatkan simpati orang ramai.

Malah, ada pengemis wanita ini didapati cukup masak dengan selok-belok kawasan tempat mereka mengemis - wartawan terdengar perbualan mereka membincangkan kawasan yang ingin mereka tuju selepas selesai mengemis di satu-satu tempat.

Merumuskan kebanjiran pengemis asing di sini, Encik Razak, seorang Penduduk Tetap (PR) asal Iran, yang menjual permaidani di bazar Geylang Serai, berkata kebanyakan pengemis asing ini 'penipu'.

'Saya lihat pengemis asing dari Asia Selatan ini rata-rata sihat dan tegap dan seharusnya bekerja. Kelihatannya mereka malas dan ambil jalan mudah untuk mendapatkan wang,' kata Encik Razak, 48 tahun.

No comments:

Post a Comment