Monday, August 17, 2009

Ramai sangat yang minta-minta di pasar Geylang Serai

EWAH... EWAH... oleh kerana puasa akan menjelang beberapa hari lagi, maka tidak hairanlah jika kesibukan persiapan menyambut Ramadan, malah Syawal, sudah begitu rancak.

Tengok saja di Geylang Serai, hiasan gerbang dan lampu-lampu aneka warna sudah menghiasi kawasan itu.

Kedai-kedai pun sudah mula menawarkan potongan harga.

Pasar Geylang Serai yang baru dibuka itu pasti menjadi tumpuan. Nampaknya, pembukaan pasar itu memang kena pada masanya - menjelang Ramadan dan Syawal.

Baru-baru ini, Nenek sempat juga menjenguk ke pasar baru itu. Memang cantik, memang menarik. Dan Nenek yakin hampir semua orang terutama orang Melayu, pasti tidak akan melepaskan peluang untuk berkunjung ke pasar itu, walaupun hanya sekali.

Malah Nenek yakin, dalam Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya nanti, pasti pasar Geylang Serai akan sesak.

Soal kebersihan jangan dikata lagi. Yalah... kata orang benda baru, semuanya cantik, semuanya bersih.

Dan pasar Geylang Serai itu memang menarik dan banyak kemudahan untuk orang ramai, terutama orang tua macam Nenek ni.

Nenek tak naik tangga untuk ke tempat makannya, tetapi naik lif sewaktu naik, dan gunakan tangga bergerak sewaktu turun. Selesa rasanya.

Kalau naik tangga biasa, nampak gaya terpaksa naik perlahan-lahan, maklumlah... lutut Nenek ni sakit.

Jadi, Nenek bersyukur kerana adanya tangga bergerak dan lif yang benar-benar membantu nenek-nenek, mak cik-mak cik dan orang tua lain yang memang suka ke pasar.

Cuma yang Nenek kurang senang ialah adanya orang-orang yang minta derma dengan menjual pelbagai kupon dan kalendar, orang yang minta sedekah dan macam-macam lagi, sama seperti pasar Geylang Serai lama, atau pasar sementaranya.

Nenek sangkakan di pasar baru ini tak ada lagi orang minta sedekah atau derma, tapi rupa-rupanya sama saja.

Bukanlah Nenek ni kedekut dan tak mahu beri sedekah atau derma. Tapi kalau yang minta tu seorang saja, tak apalah.

Sewaktu Nenek baru saja sampai di depan pasar itu, dah ada seorang pemuda mendekati Nenek meminta derma. Nenek tak perasan pula derma itu untuk apa.

Ketika baru saja nak menyuap makanan ke mulut, seorang remaja mendekati Nenek untuk menjual kalendar.

Masuk suapan keempat atau kelima, seorang pemuda pula datang jual kupon derma. Kejap lagi, ada pula yang lain datang minta sedekah.

Hai... terbegik-begik leher Nenek nak telan makanan.

Sepupu Nenek dari negara jiran, yang Nenek ajak ke pasar yang baru dibuka itu, tersenyum dan berkata:

'Aku ingatkan di Singapura yang maju ni tak ada orang minta derma atau minta sedekah.'
Hmm... Nenek senyum saja. Dalam hati Nenek berkata: Di mana-mana sama saja, ramai orang suka mengambil kesempatan.

Jadi, Nenek harap sangatlah pihak pengurusan pasar Geylang Serai itu berbuat sesuatu untuk elakkan pelanggan rasa terganggu oleh golongan peminta derma, penjual kupon-kupon derma atau peminta sedekah.

Kalau ramai sangat yang datang 'menyerbu' meminta sedekah atau menjual macam-macam kupon derma atau kalender, bimbang pula ramai pelanggan 'lari'.

Lagipun, macam mana nak jadikan pasar Geylang Serai itu mercu tanda atau daya tarikan antarabangsa jika ramai sangat orang yang meminta-minta di situ?

nenek
12 Ogos 2009

No comments:

Post a Comment