Monday, August 17, 2009

Pelantar terapung terbesar dunia

'The Float' dipilih menjadi lokasi upacara pembukaan dan penutup acara Olimpik Belia tahun depan.
Oleh
Norman Sawi

THE FLOAT di Marina Bay, atau turut dikenali sebagai pelantar terapung Marina Bay, merupakan pentas terapung terbesar di dunia.

Terletak di perairan Marina Reservoir, di Marina Bay, ia dibuat sepenuhnya daripada besi dan berukuran 120 meter panjang dan 83 meter lebar, kira-kira 5 peratus lebih besar daripada padang bola sepak Stadium Negara.

Pelantar itu mampu menampung berat 1,070 tan dan mempunyai galeri dengan 30,000 tempat duduk galeri.

Stadium terapung itu dibina sebagai tempat bagi menganjurkan acara-acara besar di Marina Bay bagi tempoh lima tahun, bermula 2007 sehingga Hab Sukan negara siap dibina semula.

Ini termasuk acara sukan, konsert, pertunjukkan, persembahan seni dan budaya serta Perbarisan Hari Kebangsaan.

Menyusuli kejayaan Singapura memenangi hak menjadi hos Olimpik Belia 2010, pelantar terapung Marina Bay itu akan menjadi tumpuan setelah dipilih sebagai lokasi untuk upacara pembukaan dan penutup temasya sukan dunia itu.

Pembinaan pelantar itu merupakan buah fikiran jawatankuasa penganjur Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2007.

Pada 2004, Kolonel Teo Jing Siong, pengerusi jawatankuasa itu, bertanggungjawab mencari lokasi baru bagi NDP setelah keputusan diambil untuk membangunkan semula Stadium Negara

Kolonel Teo dikatakan mempertimbangkan Staidum Jalan Besar, Singapore Turf Club dan Marina South sebelum memilih Marina Bay.

Lokasi NDP berlatarbelakangkan bangunan-bangunan megah, simbol kemajuan negara, merupakan antara kelebihan lokasi Marina Bay. Pemilihan itu diluluskan pemerintah.

Lantas, pada 2005, kerja-kerja perancangan bermula antara jawatankuasa NDP, Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan Majlis Sukan Singapura (SSC).

Selepas itu, SembCorp Marine, dipilih sebagai kontraktor dan kerja-kerja pembinaan bermula pada Mac 2006. Pelantar itu memakan masa 13 bulan dibina dan siap pada April 2007.

11 Ogos 2009

No comments:

Post a Comment