Monday, August 17, 2009

Duit nak buat pergi haji lesap dek ditipu wanita

'Bakal isteri' hilangkan diri lepas tinggalkan bil $2,000 dengan 3 syarikat telefon
Oleh Saini Salleh

BELIAU telah mula mengumpul wang hasil menjual barang-barang terpakai yang dipungut sekitar bloknya di Bedok Reservoir untuk mengerjakan haji.

Namun hasrat Encik Abdul Rahim Wahid, duda berusia 79 tahun, berderai bak kaca terhempas ke batu gara-gara termakan helah seorang wanita yang menawarkan diri untuk menjadi isterinya.

Wanita berusia 38 tahun itu dikatakan telah membuka tiga talian telefon bimbit dengan tiga syarikat telekomunikasi tetapi lesap setelah meninggalkan bil mencecah $2,000.

Menyingkap kejadian yang berlaku antara Jun dengan bulan lalu itu, Encik Rahim, pesara pekerja pengiriman sektor awam dan ayah tujuh anak hasil perkahwinan dengan arwah isteri pertamanya, berkata:

'Saya ingat wanita itu benar-benar ikhlas mahu menjadi isteri saya. Selalu dia cakap pasal agama dan melahirkan hasratnya untuk menjaga makan minum saya.

'Dia cakap kita boleh nikah selepas dia menuntut cerai daripada suaminya yang kini meringkuk dalam pusat tahanan kerana kesalahan dadah.'

Menurut Encik Rahim, tawaran wanita yang mempunyai anak dua itu bak pucuk dicita ulam mendatang.

Ini kerana pada Mei tahun lalu beliau sudah menceraikan isteri keduanya, seorang wanita Indonesia yang beliau selamatkan daripada lembah pelacuran di Tanjong Balai, Karimun, Indonesia, pada 1995.

Tindakan tersebut diambil selepas beliau mendapati isteri keduanya itu berkahwin lagi selepas 'balik kampung' ke Cirebon dan meninggalkan beliau seorang diri di sini pada Mac tahun lalu.

Pada Ogos tahun lalu pula, beliau menolak lamaran seorang janda berusia 54 tahun yang beliau sifatkan sebagai pisau cukur - menuntut hantaran $7,000 serba satu, set tidur serba baru dan majlis walimatulurus secara besar-besaran.

'Memang saya kesunyian kerana anak-anak saya semua tinggal dengan keluarga masing-masing. Selepas dua kali dipermainkan, saya ingat wanita yang saya kenali di bawah blok saya itu benar-benar ikhlas untuk menjadi isteri saya, tetapi dia pun main kongkalikung,' cerita Encik Rahim.

Ditanya mengapa beliau begitu mudah termakan helah wanita itu, beliau berkata:
'Dia kata tak ada telefon bimbit kerana dah bagi kepada kakaknya. Maka saya ikut dia ke kedai telefon M1 di Tampines dan bagi dia kad pengenalan saya.

Ditanya mengapa beliau begitu mudah termakan helah wanita itu, beliau berkata:

'Dia kata tak ada telefon bimbit kerana dah bagi kepada kakaknya. Maka saya ikut dia ke kedai telefon M1 di Tampines dan bagi dia kad pengenalan saya.

'Beberapa minggu selepas itu, dia kata telefon yang dibeli itu tak bagus dan minta saya buka talian baru di kedai StarHub. Saya ikutkan juga.

'Bulan lalu dia kata nak tukar telefon lain dan kerana itu terpaksa buka talian lagi satu. Saya macam lembu kena cucuk hidung,' tambah Encik Rahim.

Menurut beliau, wanita berkulit hitam manis dan berbadan kurus itu pernah beberapa kali tidur di flatnya.

Sebelum menghilangkan diri, wanita itu meninggalkan sepasang seluar dan sebuah buku berjudul Mandi Hadas di rumah beliau.

Encik Rahim mendakwa terperanjat apabila melihat bil tiga telefon bimbit yang digunakan wanita itu mencecah $2,000.

Beliau telah melangsaikan bayaran telefon-telefon bimbit itu dan menutup kesemua talian tersebut seminggu lalu.

'Saya menyesal kerana lagi sekali diperdayakan wanita yang kononnya mahu menjadi isteri saya. Saya serik dan tak akan layan wanita yang mahu jadi isteri saya lagi,' kata Encik Rahim dengan penuh kesal kerana wang $2,000 yang dikumpulnya itu mahu digunakan untuk menunaikan haji.

No comments:

Post a Comment