Saturday, August 15, 2009

Ketidak puasan dalam hubungan seks boleh menjurus kepada perceraian

ENDON yang mempunyai empat orang anak, terasa keadaan ekonomi keluarganya amat menghempit. Pendapatan suaminya, Mamat, yang bekerja sebagai buruh, tidak dapat menampung keperluan keluarganya yang semakin membesar

Beliau merengek meminta suaminya membenarkannya bekerja, kerana suaminya selama ini mahu si isteri menumpukan perhatian kepada anak-anaknya.

Kali ini Mamat tidak dapat lagi menahan keinginan isterinya. Beliau juga berasa perit. Endon memberi jaminan anak-anak mereka tidak akan terganggu kerana beliau hanya bekerja tiga malam dalam seminggu.

Mamat akhirnya terpaksa menurut kehendak isterinya, lagipun Endon memang ikhlas ingin membantu.

Setelah isterinya bekerja, keadaan kewangan keluarga agak lega sedikit, apabila hampir setiap hujung bulan mereka mempunyai sedikit wang tambahan.

Bagaimanapun, setelah enam bulan bekerja, Mamat menyuruh Endon berhenti. Perasaan cemburu meluap dalam dirinya. Beliau mengesyaki isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain, disebabkan hubungan yang semakin sejuk antara mereka.

Endon pula sering mengelak apabila didekati Mamat. Pelbagai sebab diberikan, penat sering menjadi alasan.

Mamat kebingungan dengan perubahan itu. Beliau hanya tahu menuduh, tetapi tidak pernah mahu mencari sebab perubahan yang berlaku. Selama ini Endon tidak pernah menampakkan sebarang tanda beliau melakukan hubungan sumbang di luar rumah. Endon, yang berasal dari sebuah kampung di Pahang, memang seorang isteri yang baik.

Terfikir dalam benak Mamat untuk menceraikan isterinya, tetapi apabila mengenangkan apa yang akan terjadi kepada nasib empat anaknya setelah mereka bercerai, Mamat mematikan hasrat tersebut.

Keadaan semakin tegang dan Mamat terus dengan perasangka buruknya. Ini dinafikan sekeras-kerasnya oleh Endon, kerana Mamat tidak mempunyai sebarang bukti.

Perubahan yang menggoncang rumah tangga mereka bukanlah disebabkan pihak ketiga, tetapi kerana kejahilan Mamat sendiri yang tidak tahu memuaskan keperluan batin isterinya.

Selama mereka berumahtangga dan mempunyai empat anak, Endon menganggap hubungan seks sebagai satu cara untuk mendapatkan anak sahaja. Tidak terlintas di kepalanya ia dapat memberikan kepuasan kepadanya. Baginya, wanita seperti kilang yang melahirkan anak.

Persepsi Endon berubah apabila beliau berbual dengan kawan-kawan di tempat kerjanya tentang hubungan seks. Selama ini beliau berasa kerugian kerana tidak pernah menikmati apa yang dirasakan teman-teman sekerjanya dalam hubungan kelamin.

Endon mula melihat dirinya sebagai alat untuk memuaskan keinginan seksual suami sahaja, sedang keperluan batinnya tidak diberikan perhatian langsung oleh suami.

Masalah seks tidak pernah dibincangkan dan Mamat juga tidak berminat untuk mengetahui perasaan isterinya.

Rumah tangga mereka semakin meruncing. Si isteri tidak mahu berterus terang disebabklan perasaan malu dan suami pula terlalu pasif.

Mujur ada orang tengah yang menyedarkan Mamat tentang kesilapan yang berlaku dan Endon pula bersedia memberi peluang kepada suaminya memperbaiki kelemahan dirinya.

Ketidakpuasan dalam hubungan seks boleh menjejas kemantapan sesebuah rumah tangga dan memungkinkan satu pihak mencari jalan lain yang tidak diredai untuk melepaskan nafsunya.

Hubungan seks perlu dibincangkan secara terus terang kerana kedua-dua pihak mempunyai hak yang sama. Mereka tidak harus berasa malu. Ia adalah perkara penting yang tidak boleh diabaikan.

Ajaran Islam memerintahkan setiap orang dikehendaki memberikan hak kepada mereka yang mempunyai hak.

Kepuasan seks adalah satu dari hak suami atau isteri dalam rumah tangga.

Ramai lelaki yang segera mencari rawatan jika tenaga batinnya lemah tetapi tidak ramai yang mengambil berat tentang pasangannya, sehingga ada yang terkulai kerana kedahagaan atau mudah terpengaruh dengan tarikan yang ada di luar.

Ingatlah, Rasulullah saw pernah mengingatkan para suami agar jangan tergesa-gesa meninggalkan isterinya sebelum isterinya menikmati kepuasan.

No comments:

Post a Comment