Saturday, August 15, 2009

Janda anak tiga luah keperitan

LUAHAN PERASAAN

UMURKU baru 27 tahun. Sudah mempunyai tiga orang anak dan kini hidup menjanda. Dalam usia yang masih muda ini aku seolah-olah terkapai-kapai dalam hidup yang penuh dengan cabaran.

Aku mendirikan rumah tangga dalam usia yang begitu muda iaitu 20 tahun, setelah berkenalan dengan bekas suamiku di satu majlis hari lahir teman sekerjaku. Dalam pertemuan yang singkat itu kami sempat bertukar-tukar nombor telefon.

Selang seminggu aku menerima panggilan daripadanya, dalam perbualan itu aku dapat merasakan dia begitu ramah dan bertanyakan tentang keluargaku. Mungkin aku tidak mempunyai ramai teman lelaki, maka aku mesra dengannya.


Setelah berbual melalui telefon, kami bertemu dan makan bersama kerana pejabatku terletak tidak jauh dari tempat kerjanya, jadi mudah bagi kami makan tengah hari bersama, dan pulang dari kerja sering kali dia menghantar aku dengan menaiki motosikalnya.

Dalam sekelip mata iaitu enam bulan aku merasakan lelaki inilah yang sesuai menjadi teman hidupku. Orangnya ramah, cepat mesra dan pandai mengambil hati ibu bapaku.

Pendeknya, kedua-dua orang tuaku juga berkenan dengannya kerana mempunyai pekerjaan tetap dan umurnya lima tahun lebih tua daripadaku. Setelah setahun berkenalan keluarganya datang meminang dan dengan tangan terbuka dipersetujui oleh keluargaku.


Di peringkat awal kami mendirikan rumah tangga dia mengambil berat tentang diriku dan anak yang bakal dilahirkan. Dalam masa enam tahun kami dikurniakan tiga orang anak.

Apabila anak keduaku lahir, dia meminta aku berhenti kerja agar dapat mendidik anak-anak dan menguruskan rumah tangga. Aku tidak keberatan.


Hidup kami berjalan dengan baik, cuma sekali sekala terdapat pertengkaran antara kami dan sering kali diselesaikan dalam masa sehari dua. Apabila aku mengandung anak ketiga sikapnya mula berubah.

Sering kali pulang ke rumah agak lewat dari pejabat. Kalau aku tanya jawapannya sungguh menyakitkan dan kami tidak berbual mesra seperti dulu, dan dengan anak-anak dia tidak layan seperti sebelumnya.

Suatu hari ketika dia sedang mandi aku mendengar bunyi khidmat pesanan ringkas (SMS) dari telefon bimbitnya, aku terus mengambil dan membacanya.


Alangkah terkejutnya aku apabila membaca SMS itu betapa manja dan mesranya seorang wanita yang meminta dibelikan makanan kegemarannya apabila datang ke rumahnya. Berderau darahku seketika, dunia ini gelap bagiku.

Selesai saja mandi dia terus bersiap-siap untuk keluar dengan alasan bertemu dengan teman kerjanya untuk mengatasi masalah dengan bosnya.

Aku bertanya bos yang mana satu? Tanpa berlengah aku terus menjerit menyebut wanita yang menghantar SMS kepadanya yang memintanya membelikan makanan. Apa lagi, rumah aku pun bergegar dengan pertengkaran antara kami.


Aku cuba menyelamatkan rumah tangga kami, tetapi akhirnya terpaksa berpisah juga apabila dia memutuskan untuk bernikah dengan perempuan itu. Aku dan anak-anak terpaksa pulang ke rumah ibu bapaku.

Oleh kerana aku telah berhenti kerja, bukan mudah mendapat kerja lain. Kini aku baru bekerja dengan gaji yang tidak seberapa, sedangkan dia mengecap hidup baru bersama kekasihnya. Dan kami anak-beranak terpaksa menanggung penderitan ini.

Ida

No comments:

Post a Comment