Saturday, August 15, 2009

Usah pandang ringan pendidikan seks

SOAL pendidikan keseksualan memang penting dewasa ini, termasuk dalam konteks Islam dan kebudayaan Melayu.

Walaupun kemelut kepimpinan Persatuan Wanita bagi Tindakan dan Kajian (Aware) sudah berlalu, kita masih teringat bahawa ia merupakan antara sebab timbulnya perhatian umum terhadap isu pendidikan keseksualan.

Aware dikatakan menampilkan pendidikan keseksualan yang tidak mengambil kira kepekaan majoriti rakyat Singapura yang masih berpegang pada nilai-nilai ketimuran. Dalam pendekatan Aware yang disampaikan di sekolah, soal seks sejenis dianggap suatu perkara lumrah sahaja.

Dek protes ibu bapa dan kepekaan ramai, Kementerian Pendidikan telah menggantung program Aware di sekolah.

Namun apakah itu pendidikan keseksualan? Mengapakah ia perlu diajar di sekolah kita? Perlukah anak kita pada peringkat usia muda didedahkan kepada ilmu seks?

PK telah dimulakan pada 2000 di sekolah Singapura.

Pada umumnya, pendidikan keseksualan ditakrifkan dari sudut moral sebagai pendidikan untuk memahami perubahan jasmani, perbezaan antara lelaki dengan perempuan dari segi emosi dan sosial apabila mereka membesar, penyakit kelamin, proses kelahiran dan cara mengelakkannya.

Ia bermaksud memberi pengetahuan yang menyeluruh mengenai hubungan lelaki dengan perempuan bersandarkan falsafah membina institusi perkahwinan.

Ia bukan sahaja satu kemestian sosial, malahan penting untuk mempersiap akal dan jiwa anak kita.

Pendidikan keseksualan bukanlah pendidikan seks yang mengajar hubungan seks suami isteri dan sebagainya untuk orang dewasa.

Mencapai usia baligh, anak kita akan mempunyai perasaan ingin tahu tentang seks jantina yang berpasangan dengannya.

Cakap mudahnya bersebab daripada institusi sosial dan peradaban hidup manusia - setiap insan perlu dibataskan tindak-tanduknya supaya tidak berkelakuan sesuka hati.

Seperti makan dan minum, tempat tinggal dan pendidikan, seks merupakan keperluan asas insan.

Ertinya, insan ada kemahuan seks tetapi terhalang untuk menurut nafsunya kerana adanya institusi peradaban manusia. Insan mungkin sudah bersedia dari segi fizikal tetapi ini tidak cukup syarat kerana adanya syarat ekonomi dan perundangan.

Malahan sebagai seorang Islam, halangan keagamaan menyekat nafsu daripada bermaharajalela.

Kini kanak-kanak sudah tahu apa itu seks. Internet atau ledakan bahan yang mudah diperolehi menyebabkan remaja lebih terdedah kepada keinginan untuk melepaskan nafsu mereka.

Namun Internet tidak boleh dipersalahkan 100 peratus. Kajian mendapati bahawa remaja Melayu yang telah terdedah kepada hubungan seks tidak terdorong kerana melungsuri Internet.

Sebaliknya, hubungan bebas yang keterlaluan dan bentuk media yang lain telah merangsang mereka untuk melakukan hubungan seks tanpa mengetahui kesan buruk dari segi agama dan sosial.

Kajian yang terbaru menjadikan isu ini sesuatu yang dianggap serius. Kajian menunjukkan bahawa 8 peratus daripada pelajar-pelajar sekolah yang berusia antara 14 dengan 19 tahun, terlibat dalam seks.

Malahan pada tahun lalu sahaja, terdapat 787 remaja yang terkena penyakit kelamin berbanding dengan 238 remaja pada 2002.

Statistik juga menunjukkan bahawa setiap remaja atau murid sekolah yang melungsuri Internet juga akan masuk ke alam seks di Internet.

Baru-baru ini, mantan Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad, semasa berucap di Bloggers Universe Malaysia 2009, di Kuala Lumpur, menzahirkan rasa kesal kerana tidak menapis apa sahaja yang terdapat di alam siber.

Beliau berkata bahawa adalah terlalu mudah untuk melungsuri ruangan seks di Internet.

'Taip sahaja perkataan Sex, segala tentang seks, termasuk yang lucah akan terpapar. Ini termasuklah yang berbentuk video,' katanya.

Beliau menambah bahawa kerajaan boleh menutup kilang pencetak ataupun merampas majalah mengenai seks, tetapi penapisan Internet adalah sesuatu yang sukar.

Hubungan seks remaja kita telah menimbulkan masalah seperti penyakit kelamin dan anak luar nikah.

Bahkan didapati bahawa kalangan pelajar yang terlibat dalam hubungan seks ini berasal dari keluarga yang normal dan tidak hanya terbatas pada pelajar-pelajar dari keluarga pincang.

Murid-murid perempuan ini begitu naif mengenai seks dan kerap menjadi mangsa kepada remaja lelaki yang buas!

Malangnya, ibu bapa kita jarang hendak berbincang secara terbuka dengan anak-anak mereka tentang seks dan pertanggungjawaban.

Mereka lebih suka anak mereka mengetahuinya sendiri ataupun membiarkan orang lain untuk menerangkan tentang seks kepada anak mereka. Sehinggakan perkataan-perkataan yang bersabit dengan seks juga akan mereka cuba elakkan. Untuk menyebut kemaluan lelaki, mereka lebih selesa menggunakan perkataan 'burung'!

Jadi siapa yang harus memainkan peranan untuk mendidik pelajar tentang seks agar tidak terperangkap dalam pelbagai masalah?

Oleh itu, timbullah pendidikan keseksualan atas usaha Kementerian Pendidikan. Teras falsafahnya ialah agar murid diberi ilmu yang sewajarnya agar membesar secara normal dan mengutamakan institusi rumah tangga.

Pendidikan hanya berjaya jika ejen utamanya iaitu guru dilatih.Oleh MOHAMED KHAIRUNAN ALI

Namun usahlah harapkan guru sahaja. Ibu bapa juga wajib membantu mengajar anak mereka mengenai pendidikan keseksualan. Terdapat banyak buku mengenainya dan terdapat pertubuhan ibu bapa yang menyokong usaha ini.

Zaman telah berubah. Begitu juga dengan nilai masyarakat mengenai soal pantang termasuk seks.

Daripada menjadi masalah sosioekonomi, soal seks perlu didedahkan secara bijaksana dan penuh tanggungjawab.

Sekolah pemerintah sudah memulakan pendidikan keseksualan. Ada juga segelintir ibu bapa yang membantu memasukkan nilai-nilai keagamaan dan budaya kita. Namun angka ini masih kecil.

Bahkan asatizah dan madrasah separuh masa juga boleh berperanan menyebarkan pendidikan keseksualan kepada remaja kita secara menyeluruh.

Amat penting disemaikan dalam jiwa anak kita bahawa seks bukanlah untuk melampiaskan nafsu. Namun ada tanggungjawab padanya. Institusi rumah tangga amat penting dan mereka harus tahu pula cara bertanggungjawab sebagai suami isteri yang berkesan.

Inilah teras pendidikan keseksualan yang perlu dinilai dari segi kepentingan akhlak atau moral.

Nota: Penulis ialah mantan guru besar, aktivis sosial dan usahawan.

No comments:

Post a Comment