Wednesday, February 11, 2009

USAH PANDANG REMEH PERIKSA TENGAH TAHUN

MUSIM yang digeruni pelajar telah tiba lagi. Inilah musim yang pastinya menimbulkan banyak tekanan, baik untuk pelajar, mahupun guru dan ibu bapa. Musim ini dinamakan musim peperiksaan.

Bagi yang telah membuat ulang kaji secara konsisten, pastinya musim ini tidaklah begitu digeruni. Bagi kumpulan ini, peperiksaan adalah peluang untuk mereka menilai sejauh mana kemampuan mereka serta pemahaman mereka. Golongan ini selalunya menantikan musim peperiksaan dengan perasaan yang positif.

Mereka juga akan melangkah ke dewan peperiksaan dengan keyakinan. Tetapi berlainan pula senarionya bagi mereka yang suka mengulangkaji pada saat-saat ini. Golongan ini pasti berpeluh dan mengeluh tertekan sedangkan semua itu sepatutnya sudah dijangkakan. Mereka akan sentiasa berasa berdebar-debar dan melangkah ke dewan peperiksaan dengan seribu keraguan.

Sebenarnya tiada sebab untuk pelajar berasa cemas menghadapi peperiksaan. Ini kerana peperiksaan itu adalah sesuatu yang telah dijangkakan dan tarikhnya telah diberitahu terlebih dahulu. Guru-guru juga pastinya telah berulang-kali memberi peringatan tentang pentingnya membuat persediaan awal untuk menghadapi peperiksaan.

Menghadapi peperiksaan bak melangkah ke medan peperangan. Untuk menang dalam perang, kita haruslah mempunyai senjata, fikiran yang positif, keyakinan diri dan strategi yang baik. Bagi peperiksaan, senjatanya ialah ilmu yang diperolehi melalui ulang kaji yang konsisten. Fikiran yang positif dan keyakinan diri akan timbul secara semula jadi apabila pelajar telah membuat ulang kaji. Dalam soal strategi pula, pelajar harus bijak menyusun jadual ulang kaji, mengenal pasti topik yang akan diuji dan meramalkan bentuk soalan yang mungkin diajukan.

Sayangnya ramai yang memandang mudah soal peperiksaan, khususnya peperiksaan pertengahan tahun. Golongan ini berasakan bahawa peperiksaan pertengahan tahun tidak penting kerana yang menentukan sama ada mereka dapat naik kelas atau tidak adalah peperiksaan akhir tahun. Ini adalah satu anggapan salah. Sebenarya, markah peperiksaan akhir tahun turut membentuk keseluruhan markah penilaian untuk menentukan kelakonan pelajar dan sama ada pelajar itu dapat naik kelas atau tidak.

Selain itu, cuba fikirkan, jika kamu sukar untuk lulus dalam peperiksaan pertengahan tahun, bagaimana pula harapan untuk lulus peperiksaan akhir tahun yang biasanya lebih mencabar dan menguji jauh lebih banyak topik?

No comments:

Post a Comment