Wednesday, February 11, 2009

PSIKOLOGI....PUPUK RASA HORMAT DALAM DIRI ANAK-ANAK

ANAK-ANAK akan hormat sesiapa sahaja yang pada mereka patut dihormati. Sifat anak-anak memang amat memerhati. Jika ibu bapa menunjukkan contoh kelakuan yang kita inginkan daripada anak-anak, maka mereka akan ikut contoh yang diberi dan akan menghormati diri kita.

Berapa ramai di antara anak-anak kita yang tidak kelu lidah mengeluarkan kata-kata kesat apabila berbual dengan teman-teman? Tidak hairan jika jawapannya ada- lah daripada ibu bapa mereka sendiri. Kita ajar dan arah mereka menjadi seseorang yang kita mahukan tetapi hakikatnya mereka akan menjadi seseorang yang seperti kita.

Anak-anak sering ingin menduga apa benarkah mereka disayangi dan mereka sering lakukan ini dengan berbuat nakal. Kita boleh mengajar mereka patuh perintah dan hormat dengan:

1. Mendengar
Bukan setakat angguk-angguk kepala tetapi mendengar dengan mata, teli- nga dan hati. Dengarkan kata-kata yang ingin mereka luahkan walaupun anda tak ada 'mood', bosan dan penat. Nescaya mereka akan dengar kata-kata anda sehingga mereka dewasa.

2. Disiplin
Ini adalah cara me- nunjukkan anak-anak bahawa mereka dihargai dan disayangi. Jika anda ingin katakan 'tak boleh', katakan sahaja demikian; tidak seharusnya tunduk pada kemahuan mereka. Antara cara mendisiplin: Tegas tanpa menyindir atau memperkecilkan anak. Misalnya, katakan, 'buat latihan bahasa Melayu sekarang' dan bukan 'dah pandai sangat ke, tak nak belajar lagi?' Kata-kata positif, bukan leteran. Banyak berleter boleh mengundang kebencian anak. Misalnya, katakan, 'ya, mak tahu kau ingin ke majlis itu tapi mak tak dapat benarkan kerana...' dan bukan 'apasal degil, aku tak nak dengar lagi pasal majlis tu... wah mentang-mentang dah besar...' Jangan kelak, mereka secara auto- matis memekakkan telinga ketika anda berbicara.

3. Bersabar
Hakikatnya anak akan tetap menguji kesabaran. Yang penting, kendali perasaan marah agar anak-anak tidak perlu menyaksikan adegan hilang sabar seperti menghempas barang, memukul, memaki dan lain-lain. Hitung sampai seratus jika perlu, istighfar, minum air atau baring seketika. Jangan kelak mereka juga hilang sabar dengan anda dan ikut cara anda; bertenang atau 'naik hantu.'

4. Bersifat konsisten
Ada di antara kita yang begitu serius dan disiplin di hadapan anak-anak tetapi bertukar menjadi pelawak, pelakon dan dramatis di luar rumah. Melainkan kerjaya anda memang sebagai pelawak, pelakon dan dramatis, anak anda akan terlihat sifat anda yang tidak konsisten. Lain di dalam dan lain di luar. Kelak mereka ikut yang sama, depan ibu bapa warak dan bertudung lingkup tapi berskirt pendek dan bermekap tebal ketika bersama teman.

5. Cakap seperti yang dibuat, buat seperti yang dicakapkan
Tidak mahu anak memaki, usahlah memaki; tidak mahu anak biadab, usahlah bersifat biadab, ingin anak sabar, tunjukkanlah kesabaran.

6. Bercakap benar
Sering kali anak-anak harus menyaksikan ibu bapa bercakap bohong. Bapa menelefon bos tidak dapat ke pejabat kerana anak sakit tetapi sebenar- nya tidak. Jika kita punyai tabiat berbohong, anak kita akan lebih lagi.

7. Jujur, tidak hipokrit
Ingatlah, anak-anak akan patuh dan hormat pada kita jika diterapkan disiplin dan diberi contoh teladan yang baik. Memang, ibu bapa adalah manusia biasa yang tidak sempurna dan tidak sunyi daripada melakukan kesilapan tetapi anak-anak begitu bijak. Mereka tahu sama ada ibu bapa menyayangi atau adakah mereka bersikap jujur. Jika benar, mereka akan tetap menghormati kita.

Nota: Penulis ialah siswazah Psikologi Amali Universiti Southern Queensland dan juga ibu tiga anak yang berusia antara 10 dengan lima tahun.

No comments:

Post a Comment