Monday, February 9, 2009

RIZAB KELUARGA PENYELAMAT MASA SUKAR

APAKAH negara dan kita sendiri mempunyai rizab atau simpanan wang yang mencukupi?

Isu rizab negara dan keluarga ini hangat dibincangkan.Antaranya oleh Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, semasa membahaskan Belanjawan 2009 di Parlimen Rabu lalu.

Beberapa AP lain juga menekankan peri pentingnya rizab negara di samping peranannya dalam membantu Singapura mengharungi kesuraman ekonomi sekarang.Penulis tetap Forum, Encik Mohd Ikhlash Abdullah, turut melahirkan keprihatinan serupa dalam ruangan tersebut (Mulakan rizab keluarga untuk harungi krisis, BH, 4 Februari).

Mengetengahkan betapa pentingnya rizab yang dikumpul negara dan keluarga, Dr Muhammad Faishal berkata:'Simpanan atau tabungan dilakukan dalam masa-masa senang, dengan lebihan belanjawan disimpan dalam rizab negara. 'Lama-kelamaan rizab ini semakin bertambah dan menjadi sumber penting khususnya dalam masa sukar sekarang.

'Amalan ini mesti dicontohi warga setempat.
'Rizab yang dikumpul setiap keluarga akan menjadi sumber penting semasa mereka menghadapi masa sukar seperti sekarang dengan adanya risiko dikurangkan gaji atau lebih buruk lagi, diberhentikan kerja.'

Pandangan beliau dikongsi oleh Encik Mohd Ikhlash yang menyatakan:
'Dalam masa sekarang, baru kita dapat rasakan betapa pentingnya rizab negara kita yang bertindak bak insurans bagi penakatan Singapura.'Justeru, timbul persoalan jika pemerintah berdisiplin dalam aspek menabung, berapa ramaikah agaknya institusi keluarga kita yang mencontohi amalan positif ini?'

Soalan beliau agak mencuit minda.
Namun, jawapannya ada pada kita sendiri.
Para pakar kewangan menyatakan jika kita mempunyai simpanan melebihi enam bulan perbelanjaan keluarga, kita boleh menarik nafas lega sedikit.

Contohnya, jika perbelanjaan keluarga mencecah $2,000 sebulan, kita harus mempunyai sekurang-kurangnya $12,000 dalam rizab keluarga, demi menangani sebarang keperluan kecemasan.Ini seperti sakit pening anggota keluarga, atau ada anggota keluarga yang dipotong gaji atau diberhentikan kerja, khususnya dalam kelembapan ekonomi sekarang.

Malah, lebih baik lagi jika kita mempunyai rizab lebih besar daripada tempoh enam bulan itu agar kita tidak mudah jadi panik, gelisah dan rasa tertekan dek perlu melunaskan pelbagai bayaran.Jika kita masih belum mempunyai rizab sebanyak itu, sewajarnya kita harus mula berfikir secara serius dan mendalam.

Bertindak segera dan mulalah mengetepikan sebahagian pendapatan bulanan secara tetap.
Biar sedikit (daripada tiada langsung) kerana lama-lama ia boleh menjadi bukit. Contohnya, mengadakan simpanan tetap antara $50 dengan $200 sebulan akan menghasilkan simpanan $600 hingga $2,400 setahun.Pakar kewangan menyarankan simpanan bulanan minimum 10 peratus gaji.Namun, lebih banyak yang dapat diketepikan, lebih banyak pula yang dapat disimpan sepanjang tahun.

Akhirnya, kita sendiri dapat tersenyum lega melihat rizab yang ada.Rizab ratusan dolar akan meningkat kepada ribuan dolar dan kemudian puluhan ribu dolar, dan jika amalan menabung diteruskan, boleh mencecah pula ratusan ribu dolar.

Apakah ini mustahil?

Pasti tidak jika kita mempunyai disiplin, iltizam dan tekad untuk memperbaiki kehidupan keluarga selain tidak mahu terperangkap dalam keadaan kurang bersedia dalam menangani apa jua kecemasan.Tanggungjawab ini khususnya kepada ketua keluarga yang seharusnya membuat rancangan kewangan demi memastikan kehidupan selesa keluarga.

Kini, beberapa pertubuhan Melayu/Islam setempat mengadakan pelbagai program rancangan kewangan.Antaranya adalah Program Bijak Belanja anjuran Rangkaian Forum Pemimpin Masyarakat (CLF) dan program Bijak Merancang Wang yang dikendalikan Angkatan Karyawan Islam (AMP).Sebaik-baiknya, bagi yang belum menyertainya, daftar dan sertailahnya demi meraih ilmu dan manfaat.

Sementara itu, bagi mereka yang kurang berdisiplin mengetepikan wang secara tetap, ada beberapa bank yang menyediakan khidmat memotong sejumlah wang daripada akaun mereka setiap bulan.Ini termasuklah MySavings Account kendalian POSB.

Akhir kata, rizab negara telah menjadi penyelamat penting kepada negara dalam mengharungi masa-masa sukar selain membolehkan pemerintah membiayai pelbagai program dan skim demi merancakkan ekonomi dan membantu warga setempat.
Begitu juga dengan rizab keluarga. Ia menjadi sumber penting dan penyelamat bagi sesebuah keluarga untuk meneruskan rutin harian seperti persekolahan anak-anak, pembelian barangan dapur dan makanan yang dapat dibereskan tanpa banyak masalah.

Oleh itu, usahlah kita berlengah atau sehingga berulang kemelut ekonomi sebelum mahu bertindak. Kelembapan ekonomi sekarang harus dijadikan iktibar bagi kita semua.
Dan satu pengajaran paling bernilai yang terpahat dalam minda adalah perlunya diperkukuh rizab keluarga, dan ini mestilah dilakukan setiap masa - khususnya dalam masa lapang, sebelum tiba waktu sempit.

No comments:

Post a Comment