Monday, February 9, 2009

FIKIR PANJANG DAN USAH BERTINDAK TERBURU-BURU

AHAD lalu, ketika berada di satu majlis perkahwinan anak kawan Nenek (kawan sewaktu bersekolah menengah dulu), maka ramailah kawan yang Nenek jumpa.

Faham-faham sajalah apabila kawan yang sudah berpuluh-puluh tahun tidak bertemu, tiba-tiba berjumpa dalam majlis seumpama itu.Kecoh... ada yang sudah tidak kami kenali, ada yang sudah bercucu, ada yang wajahnya berbeza langsung dan macam-macam lagi.

Antara ramai kawan yang kami temui itu, seorang kawan lelaki yang boleh dikatakan rapat juga dengan kami, tidak hadir.'Salim tak diundang ke?' tanya Nenek kepada Zaidah, kawan sekelas kami dulu.'Jemput, tapi dia tak boleh datang. Sakit, kata anaknya,' kata Zaidah yang tinggal berdekatan dengan Salim.

'Sakit apa?' tanya Nenek.'Entahlah... tapi dengar-dengarnya dia gila talak,' kata Zaidah sambil terkekek-kekek ketawa.'Eh... ada-ada saja awak ni Zaidah. Pandai-pandai kata orang tu gila talak,' kata Nenek.

'Betul... sejak berpisah dengan isterinya lapan tahun lalu, dia jadi murung, suka menyendiri, tak mahu pergi undangan majlis kahwin dan banyak lagi perangainya.'Dia asyik ingat isterinya saja. Tengok gambar isterinya, cium gambar isterinya dan kadang-kadang sebut-sebut nama isterinya.

'Yang aku dengar, bukan isterinya yang minta cerai, tapi dia yang ceraikan isterinya. Dia tu kan panas baran, jadi kerana marahkan isterinya, dia terus ceraikannya,' tambah Zaidah bersungguh-sungguh.

'Kesian ya,' kata Nenek.Cakap pasal gila talak ni, Nenek rasa memang kesian benar dengan orang-orang yang mengalaminya.Ini semua gara-gara tidak fikir panjang, bertindak tergesa-gesa mengikut perasaan, bukan mengikut fikiran.

Jadi, apabila sudah membuat sesuatu tindakan, barulah menyesal, barulah berasa sedih dan kecewa.Tapi, nasi sudah menjadi bubur... apa nak dikata lagi. Nak diolah macam mana pun, ia tetap lembik, tak boleh keras kembali menjadi nasi.

Suka atau tidak, terpaksalah makan... kalau enggan makan, humbankan sajalah ke tong sampah.
Tapi dalam keadaan ekonomi gawat seperti ini, sayang kalau dibuang makanan begitu saja.
Kata orang, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Berbalik kepada kawan Nenek si Salim tu, menurut Zaidah, dia kini tinggal dengan anak perempuannya yang bongsu bersama keluarganya.'Baik juga ada cucu-cucu yang selalu menghiburkannya. Jadi, keadaannya sudah semakin baik sekarang ni.'Walaupun perceraiannya sudah kira-kira lapan tahun, si Salim mungkin masih belum dapat melupakan sepenuhnya isterinya tu.

'Lagipun aku rasa dia menyesal. Sebab itulah dia jadi macam tu. Tapi alhamdulillah, sekarang ni keadaannya dah baik.'Cuma aku dengar, dia kurang suka ke majlis-majlis kahwin seperti ini, kecuali keluarga terdekat.'Agaknya kalau dia ke majlis kahwin, terasa ingin nak kahwin lagi tak?' kata Zaidah sambil ketawa lagi terkekek-kekek.

Nenek senyum saja. Dalam hati, Nenek berasa sangat simpati terhadap Salim.
Mudah-mudahan ia menjadi iktibar kepada kita semua agar tidak bertindak melakukan sesuatu secara terburu-buru.Nenek rasa kita harus berfikir panjang, fikir sedalam-dalamnya agar setiap tindakan yang kita lakukan tidak membuat kita menyesal.

Oleh
Nenek

No comments:

Post a Comment