Monday, February 9, 2009

PASTIKAN PEMBIMBING RUMAH TANGGA BENAR-BENAR LAYAK

KAWAN Oteh tampak kecewa dengan sikap sesetengah badan yang menguruskan kursus bimbingan rumah tangga.

Baru-baru ini, terdapat surat pekeliling meminta para pembimbing berusia antara 25 dengan 45 tahun membantu pasangan bermasalah (lazimnya dalam lima tahun perkahwinan).'Tak masuk akal. Sebab, pembimbing mestilah orang berpengalaman dalam soal rumah tangga.

'Jika tiada sijil pun, sekurangkurangnya pembimbing itu terbukti ibu atau ayah yang sudah berjaya membesar anak-anaknya.'Jadi, orang tua ganyut macam kita pun masih lagi relevan,' kata kawan Oteh.

Hendak ketawa Oteh dibuatnya dengan perkataan 'relevan'.Sebenarnya, 'relevan' merupakan sesuatu kekata penuh risiko. Namun, orang tua macam Menteri Pembimbing, Encik Lee Kuan Yew, telah membuktikan 'relevan' mestilah tengok pada orangnya.

Ada anak muda pun tak relevan jika fikirannya tidak matang. Ilmunya setakat itu dan itu saja.
Kini ramai orang tua yang arif pakai komputer. Jika diberi peluang belajar lagi, mereka sanggup.
Bahkan mereka suka bekerja daripada duduk rumah, bersembang di kedai kopi dan sebagainya.
Untuk membantu pasangan muda yang belum mantap, maka pembimbing mestilah betul-betul berpengalaman. Bahkan Oteh syorkan diadakan semacam pensijilan pembimbing.

Terlebih dulu, para pembimbing, baik yang usianya masih 'pemuda' (25-39), 'dewasa' (40-50), mahupun tua (51-63) - ikut usia Nabi saw kita - mesti hadiri kelas. Mereka perlu duduk periksa mudah untuk menilai setakat mana kearifan mereka.

Maklumlah kini zaman sijil dan ijazah. Setidak-tidaknya seseorang itu sudah terbukti dalam bidangnya menerusi penulisan atau pelibatannya.Memang diakui rumah tangga Muslim sering rapuh, terutama dalam peringkat lima tahun pertama perkahwinan.

Sebabnya mudah:
ibu bapa tak lagi dapat memantau dan mengawal anak mereka yang sudah tidak tinggal sebumbung.Lagipun, Oteh perhati perkahwinan muda sering disebabkan nafsu, terutama di pihak suami. Bila sudah berumah tangga dan timbul tanggungjawab, si suami mula tunjuk perangai macam masih bujang.

Oteh lebih salahkan suami kerana dialah 'khalifah' rumah tangga. Pun ada juga isteri yang cuai dan semakin berani menentang suami.Oteh yakin jika kita mempunyai banyak pembimbing rumah tangga - katakanlah seorang bagi setiap lima pasangan - akan ada rangkaian nasihat berguna.

Sayang sekali asas berumah tangga Muslim kita sering dirapuhkan oleh penekanan yang tidak perlu. Mengapa mesti buat kerja kahwin besar-besaran? Kemudian berhutang sana-sini.
Ikutlah cara Nabi kita adakan majlis walimah yang amat sederhana untuk dua orang teristimewa, sahabatnya, Sayidina Ali, dan anaknya, Fatimah.

Memang tiada salah buat kerja kahwin besar-besaran. Tapi mampu atau tidak? Jika tidak, berpada-padalah saja.Sebaik-baiknya majlis walimah itu dibanyakkan acara zikir dan doa selamat serta nasihat untuk pasangan.

Tunjukkan bahawa seluruh masyarakat, khususnya anggota kerabat, tidak mahu kebahagiaan mereka pada hari mereka menjadi raja dan permaisuri sehari saja - tetapi berterusan sehingga akhir hayat.Ini tidak, majlis walimah penuh dengan lagu yang bukan-bukan, termasuk lagu Hindustan yang kita tak faham maksudnya.

Oteh rasa kita perlu adakan reformasi atau pembaharuan pada lembaga perkahwinan kita - sejak detik perkenalan sehingga walimah. Sebab, apabila asasnya kuat, rumah tangga kita akan kukuh, biar sekuat mana ribut taufannya.

Oleh
Pak Oteh

No comments:

Post a Comment