Monday, February 9, 2009

ADAT MELAYU PANTANG CAKAP PATAH-MEMATAH, PANTANG BICARA CERCA-MENCERCA

ADAT resam Melayu mengajarkan agar setiap orang hendaklah menjunjung tinggi dan mengamalkan nilai-nilai luhur budayanya dalam setiap percakapan dan tindakan atau perilakunya.

Ini termasuk kesantunan dalam percakapan atau ketika menyampaikan pendapat dan sebagainya.
Orang yang tidak mampu menunjukkan kesopanan, lazim disebut sebagai 'orang yang tak tahu adat' atau 'orang yang tidak beradat' atau 'orang yang kasar langgar'.

Sebab itulah, orang Melayu sejak zaman berzaman sering mendidik anak-anak mereka agar menitikberatkan sopan santun dalam percakapan.

Misalnya, anak-anak dilarang menyampuk percakapan orang tua. Anak-anak yang suka menyampuk percakapan orang tua sering kali dianggap kurang ajar dan kurang menghormati orang tua.

Sememangnya anak-anak muda darahnya panas dan emosinya mudah berubah.
Justeru pantang larang ini dikenakan supaya anak-anak dapat berfikir secara rasional dan matang, sebelum bercakap atau mengambil sesuatu tindakan.

Dalam sesuatu percakapan, orang Melayu sering diajar agar redup pandangan, tidak gelisah mental dan perlakuan.Mereka sentiasa diingatkan supaya tenang berbicara agar dapat mencapai keputusan yang betul dan dipersetujui bersama.

Adat Melayu, pantang cakap patah-mematah, pantang bual jual-menjual, pantang bicara cerca-mencerca, pantang mulut carut-mencarut.Asas bercakap dalam budaya Melayu menjadikan mereka orangorang yang cermat, bijak dan teliti dalam berbahasa.

Dari sinilah muncul anggapan bahawa orang Melayu adalah orang yang penuh sopan santun, halus bertutur kata, arif dan bijak dalam berbahasa.Lidahnya lembut dan menyejukkan hati, tutur katanya manis dan membawa ketenangan dan kedamaian, perilakunya ramah-tamah penuh ikhlas dan ketulusan, serta terbuka dan bersangka baik terhadap siapa saja.

Inilah juga cerminan keperibadian Melayu yang Islami lagi terpuji.Dewasa ini, kita digalakkan bercakap. Namun cakap-cakap yang bagaimanakah yang dianggap bermutu?

Kepetahan bercakap dengan becok bercakap sememangnya berbeza. Seseorang yang petah bercakap berupaya menggunakan bahasanya dengan baik dan berkesan tanpa sebarang keraguan dan halangan komunikasi.

Orang yang petah bercakap berupaya menyampaikan maksud isi percakapan dengan jelas, tahu memilih perkataan yang tepat, tahu konteks dan percakapannya bermaklumat serta bersifat dua hala. Becok bercakap pula umpama burung murai yang tidak berhenti-henti berbunyi tetapi pendengar kurang memahami maksud butir bicaranya.

Penggunaan bahasanya kelam kabut, pemilihan perkataannya asal sembur, tatabahasanya tidak terkawal dan bahasanya juga bercampur aduk. Orang yang becok bercakap selalunya lebih menumpukan perhatian pada kelajuan kata-kata daripada memerhatikan pilihan kata sehingga sering kali mengguris perasaan orang yang tersentuh.

Apabila bercakap, kita perlulah punya maklumat yang hendak disampaikan.Maklumat itu perlulah mengandungi isi yang baik. Isi yang baik memerlukan si pembicara punya ilmu dan pengetahuan tentang perkara yang hendak dicakapkannya. Sekiranya tidak, percakapannya umpama tin kosong.

Justeru sekiranya kita tidak punya maklumat benar dan lengkap, tidak perlulah bercakap.
Kadangkala, diam sebagai pemerhati lebih baik daripada sibuk ingin mengutarakan pendapat yang tidak bernas.

No comments:

Post a Comment