Sunday, September 13, 2009

'Assalamualaikum. Tolong beli ayat ini, Encik'

12 Sep 2009

Pengemis ambil kesempatan sifat dermawan masyarakat

Masyarakat Singapura memang dikenali dengan sikap dermawan mereka. Disebabkan itu pengemis warga asing tidak putus-putus mendatangi negara ini. Bagi pengemis dari Asia Selatan dan Asia Tenggara, mereka lebih gemar membanjiri Geylang Serai dan beberapa kawasan tumpuan masyarakat Melayu/Islam setiap kali tibanya Ramadan. Selama tiga hari, wartawan Berita Harian, SAFHRAS KHAN dan jurugambar, MOHD TAUFIK A. KADER, menjejaki pengemis-pengemis itu. Ikuti laporan khas mereka.

MENGENAKAN songkok haji sambil bertutur dengan cara lembut, beliau menghampiri 'mangsanya' di tempat meletak kereta dekat Tanjong Katong Complex.

Apabila melihat seseorang yang sedang berjalan, lelaki tinggi lampai itu mengekorinya sebelum menyapa dalam bahasa Inggeris: 'Assalamualaikum, please buy these ayat. I am poor. Please help me, Sir.' (Assalamualaikum, tolong beli ayat-ayat ini. Saya ni orang susah. Tolonglah saya, Encik.)

Demikian rata-rata gelagat peminta sedekah warga asing yang menggunakan helah menjual kad berlaminat ayat-ayat suci Al-Quran untuk mendapatkan wang daripada orang ramai.

Pengemis asal Asia Selatan itu lazimnya tiba di sini bagi 'memanfaatkan' sikap dermawan masyarakat Islam di sini pada bulan Ramadan. Bagi meraih 'hasil' maksimum, pengemis-pengemis itu menjalankan kegiatannya di kawasan bazar.

Walaupun 'mangsa' peminta sedekah tadi enggan membeli ayat-ayat tersebut, pengemis itu tidak berputus asa. Pengemis itu mengekori 'mangsanya' hingga beliau dapat apa yang dikehendakinya. Jika gagal, beliau akan melemparkan pandangan yang hampa dan berjalan ke arah mangsa lain.

Tinjauan Berita Harian (BH) mendapati peminta sedekah selalunya akan menghampiri mereka yang sedang berjalan menuju ke kereta mereka. Sebaik didekati, pengemis akan mula menguntum senyum, memberi salam dan barulah menyatakan hasratnya - meminta derma.

Seorang daripada mereka mengenalkan dirinya sebagai Mushtad Ahmad dari Kashmir, Pakistan, yang mendakwa beliau menaiki pesawat ke Singapura.

Apabila diberitahu bahawa wartawan juga berketurunan Pakistan, Mushtad kelihatan gembira dan sedia buka cerita.

'Saya menjual kad-kad ini untuk mencari duit agar saya boleh pulang ke Pakistan dan menyambut Aidilfitri. Tak mahal Encik, sekeping hanya $2,' ujarnya.

Menurut Mushtad, beliau sudah berada di Singapura sejak hari pertama Ramadan dan berharap akan mendapat sekurang-kurangnya $500 sebelum pulang.

Duit itu akan diguna untuk pulang ke Pakistan dan menyambut Hari Raya bersama keluarganya. Menurutnya, kad-kad itu dibawa bersama dari Pakistan untuk dijual di sini.

'Orang Singapura murah hati dan tidak sukar untuk saya menjual kad-kad ini. Pertolongan yang diberi dapat membantu saya,' katanya.

Mushtad berkata untuk menjimat wang, beliau bermalam di Masjid Angullia di Serangoon Road. Kira-kira 10 pagi, beliau akan menaiki bas ke kawasan Geylang untuk menjual kad-kad tersebut dan selepas selesai 'berniaga', beliau pulang ke masjid tersebut.

'Saya harus berjimat jika saya mahu mendapatkan sasaran saya. Sebagai contoh, saya akan beriftar di Masjid Khalid. Di sana, saya dapat makan dan berehat seketika sebelum pulang bermalam di Masjid Angullia.'

Bagaimanapun, Mushtad, yang kelihatan sihat dan tegap, enggan memberitahu jumlah kad yang beliau dapat jual sehari.

'Cukuplah apa yang saya perolehi. Selama dua minggu saya di sini, saya sudah dapat kumpulkan $300. Tetapi duit tu belum cukup lagi,' katanya, sambil menambah beliau memerlukan lagi $200.

Pemerhatian kru BH selama sejam mendapati ramai yang memberi wang kepadanya.

Setiap kali Mushtad menerima sumbangan wang daripada orang ramai, beliau akan mengangkat tangan ke langit seumpama berdoa. Beliau turut meminta wartawan ini mendoakan agar beliau dapat menemui sasarannya sebelum akhir Ramadan.

'Anda pun berketurunan Pakistan. Mungkin anda boleh memberi saya $200 agar saya boleh pulang esok,' katanya sambil tersenyum.

No comments:

Post a Comment