Thursday, August 27, 2009

Apabila suami bukan tempat bermanja...

AHAD lalu, Nenek ke pasar serbaneka berhampiran rumah Nenek bersama anak Nenek, Noni.

Setelah berbelanja, Nenek terasa penat dan duduk di luar pasar itu menanti Noni yang masih berbelanja. Duduk berhampiran Nenek ialah seorang lelaki berusia sekitar lewat 40-an tahun. Beliau kelihatan gelisah. Kejap duduk, kejap berdiri.

Ketika Nenek terpandang wajahnya, dia mengukir senyum. Nenek balas senyumannya.
Tanpa ditanya, dia berkata: 'Orang perempuan ni memang leceh. Tengoklah ni, dari 9.30 pagi kita orang sampai, sekarang dah 10.15, bini saya masih belum selesai belanja.

'Dia tu memang lembap sikit. Kalau dah masuk pasar, dah jumpa apek ikan, macam tak mahu keluar pulak,' katanya membebel tanpa ditanya.

Menyampah pula Nenek dengan lelaki seperti itu. Banyak mulut. Dalam bulan Ramadan yang mulia ni, dia betul-betul tak tahu jaga perasaan dan maruah isteri. Nenek pun jadi terseret dalam masalah mereka.

Si Noni pun tak keluar-keluar. Betul juga agaknya kata si lelaki di sebelah Nenek ni. Kira-kira 15 minit kemudian, isterinya keluar dari pasar dan menemuinya.

'Sorry bang, lambat sikit. Faham-faham sajalah... hari Ahad ni pasar banyak orang,' kata isterinya menjelaskan kepada si suami tanpa diminta.

'Awak ni memang melampaulah. Sebab itulah saya malas nak ikut awak ke pasar. Saya macam tunggul tunggu awak kat sini,' kata si suami dengan nada tinggi.

Si isteri tidak menjawab. Nenek pula buat tak dengar saja.

Selepas bangun dari duduknya, Nenek sangka mereka terus meninggalkan tempat itu. Rupa-rupanya tidak. Si suami sambung leterannya.

'Lain kali kalau pergi pasar, jangan berjam-jam. Awak ingat saya ni babu awak?' si suami dengan nada keras dan kasar, memarahi isterinya. Dan sambil memandang wajah Nenek, dia berkata: 'Kakak tengok ni, macam mana saya tak geram. Lembap punya bini.'

Nenek jadi serba salah dan kasihan melihatkan si isteri ditengking herdik begitu. Mujur si isteri sabar. Jika tidak, pasti sudah jadi pertengkaran sengit.

Khuatir dianggap kepo dan jaga tepi kain orang, Nenek bangun dan masuk semula ke pasar.
Haa... tengok tu. Begitulah perangai sesetengah lelaki yang tanpa fikir panjang, memalukan isteri di depan khalayak ramai.

Ini yang membuat Nenek teringatkan Fidah, anak jiran Nenek yang selalu bergaduh dengan suaminya.

'Abang Man tu memang melampau cik. Selama 10 tahun kami kahwin, begitulah perangainya. Selalu saya dimalukan di depan orang ramai. Nasib baik saya ni sabar. Kalau tak sabar, memang dah hancur rumah tangga kami.

'Dia tak peduli. Walau di mana saja atau depan siapa saja, kalau saya salah sikit, dia akan maki, tengking herdik dan malukan saya,' ngadu Fidah pada Nenek ketika kami bersua baru-baru ini.

Wahai kaum suami, janganlah macam tu. Anda adalah pelindung isteri, tempat isteri bermanja, tempat isteri mengadu.

Kalau anda, sebagai suami, tidak boleh jadi tempat isteri bermanja atau mengadu, macam mana kalau isteri anda cari orang lain yang sedia mendengar, jadi tempat mengadu?

Haa... bila jadi begitu, jangan menyesal!

Nenek
26 Ogos 2009

No comments:

Post a Comment